PASUKAN SK Padang Matsirat ceria selepas muncul juara.
PASUKAN SK Padang Matsirat ceria selepas muncul juara.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Matsirat muncul juara Kejohanan Bola Sepak B-12 Daerah Langkawi, baru-baru ini.

Mereka menewaskan SK Kedawang 2-0 pada aksi final di Stadium Langkawi.

Penyerang cilik Ku Shalihin Ku Sharudin beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol pembakar semangat kira-kira 20 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Kehebatan pasukan itu diperkukuh dengan jaringan kedua Hasnawi Mohamad menerusi sepakan jarak dekat bagi memastikan kemenangan mutlak sekolah itu.

Kejohanan dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi itu bertujuan mencungkil bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat daerah dan negeri.

Pada separuh akhir, SK Padang Matsirat menewaskan SK Seri Negeri 4-0, manakala SK Kedawang mengatasi SK Sungai Menghulu 3-1.

SK Seri Negeri mengecewakan SK Sungai Menghulu 2-0 untuk menduduki tempat ketiga.

Hadiah disampaikan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:57 AM