KONTINJEN SMK Mahsuri ceria selepas muncul juara kategori sekolah menengah.
KONTINJEN SMK Mahsuri ceria selepas muncul juara kategori sekolah menengah.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri muncul juara baru acara balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Langkawi ke-29, semalam.

Sekolah itu mengumpul 20 pingat emas, 12 perak dan lima gangsa untuk mengatasi pencabar terdekat SMK Tunku Putra yang meraih 12 emas, 14 perak dan 15 gangsa.

Sembilan sekolah menengah mengambil bahagian dan dibahagikan kepada dua kategori kelas dua B-15 dan kelas satu B-18 tahun.

Temasya tiga hari itu bertujuan memilih peserta terbaik mewakili daerah Langkawi ke peringkat negeri itu dianjurkan MSSD Langkawi di padang Kolej Vokasional Langkawi.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bayas pula muncul juara baru kategori sekolah rendah selepas memungut tujuh emas, dua perak dan dua gangsa untuk mengatasi 20 sekolah rendah lain.

SK Sungai Menghulu yang memungut enam emas dan tiga perak, kedua.

Pelari jarak sederhana SMK Tunku Putra Hasnawi Muhamad dipilih sebagai olahragawan selepas memungut tiga emas dalam acara 200, 400 dan 800 meter. Mereka juga mencatat rekod baru kejohanan acara 400m.

Salsabeela Abdul Rahim, mewakili SMK Mahsuri yang juga pelari jarak sederhana dipilih Olahragawati selepas memungut empat emas untuk acara 400, 800, 4x400 dan 4x100m.

Hadiah disampaikan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Kedah, Halim Mansor. Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Marzuki Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 6:38 AM