Oleh Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Kepercayaan perlu diberikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dalam merencanakan perancangan skuad negara walaupun kedudukan ranking semakin merosot.

Ranking dunia terbaru skuad negara yang dikeluarkan minggu lalu menyaksikan Harimau Malaya jatuh 11 anak tangga ke kedudukan ke-164, gara-gara kekalahan besar 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan kelas A pada 26 Mac lalu.

Senario itu menimbulkan pelbagai reaksi pemerhati bola sepak tempatan yang kurang senang dengan perkembangan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanapun berkata, ranking dikeluarkan badan induk bola sepak dunia, FIFA memang penting namun bukan segala-galanya.

“Bagi saya, kedudukan 150 hingga 160 tiada banyak perbezaan kerana ia kategori ‘parah’ dan tidak memberikan banyak makna.

“Kita tidak perlu panik kerana mereka mungkin mempunyai perancangan tersendiri walaupun saya sedar ia akan tetap menjadi cemuhan penyokong.

“Namun FAM sudah memberi penjelasan, pemilihan perlawanan menentang lawan yang lebih hebat adalah bagi memberi pengalaman kepada pemain. Kita tidak boleh kata Malaysia negara paling buruk di Asia Tenggara kerana pada Sukan SEA atau Piala AFF, kita kerap mara ke separuh akhir selain pernah muncul juara,” katanya.

Pada masa sama Khairy turut tidak menghalang FAM daripada menganjurkan aksi persahabatan menentang kelab luar seperti menentang Liverpool FC dan Tottenham Hotspur pertengahan tahun ini.

“Skuad kebangsaan tanggungjawab FAM sepenuhnya, soal pemilihan perlawanan hak mereka. Saya hanya boleh memberikan nasihat namun mereka mungkin mempunyai strategi tersendiri untuk memberikan pendedahan menentang kelab seperti itu, terpulang kepada FAM.

“Tapi bagi saya apabila tiba kejohanan besar seperti Sukan SEA, Piala AFF, kelayakan Piala Asia dan sebagainya, ia penting. Jika Dollah mengatakan beliau mahu menggunakan perlawanan awal ini sebagai pendedahan kita terima namun apabila sampai kejohanan berkenaan, peningkatan perlu ditunjukkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:49 AM