Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Tanpa sebarang aksi persahabatan antarabangsa sejak kekalahan 0-6 kepada Oman Mac lalu terus memberi kesan kepada ranking skuad kebangsaan yang kini merosot ke tangga 166 dunia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan kedudukan ranking terbaru semalam.

Kedudukan itu menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh jatuh dua anak tangga di belakang negara yang asing dalam sukan bola sepak iaitu Guyana (163), Bhutan (164) dan Dominica (165).

Masalah jadual padat dan tiada ruang dalam kalendar FIFA menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sukar mengatur aksi persahabatan antarabangsa bertaraf A untuk memperbaiki ranking.

Bagi bekas pemain kebangsaan Datuk Shukor Salleh (gambar), beliau menggesa badan induk itu mengambil serius mengenai kemerosotan ranking negara ini yang dilihat antara pengukur prestasi Harimau Malaya.

“Walaupun aksi persahabatan, kita perlu cipta kemenangan kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan ranking. Selain itu setiap kemenangan diraih dalam apa jua perlawanan akan menambah keyakinan pemain untuk beraksi di kejohanan sebenar,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Namun ketika Harimau Malaya memerlukan perlawanan persahabatan untuk memperbaiki ranking serta persiapan pra kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 Jun ini, Dollah pula membatalkan pertemuan dengan Filipina pada 30 Mei ini dengan alasan kehilangan ramai pemain tonggak apabila Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang beraksi dalam Piala AFC.

Ada pihak menganggap pembatalan itu sesuatu yang merugikan memandangkan Filipina berada di ranking ke-137 dan ia peluang terbaik untuk Dollah menguji pemain lain dalam aksi menentang lawan setara itu.

Bagaimanapun Shukor mempertahankan keputusan Dollah yang dianggap lebih mengenali pemain yang boleh mewakili pasukan kebangsaan.

“FAM tidak boleh buat apa-apa kerana pasukan negeri dan kelab juga mempunyai hak ke atas pemain. FAM tidak boleh memanggil pemain sesuka hati untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.

“Bagaimana Dollah mahu memanggil pemain lain jika beliau tidak mempercayai kemampuan pemain itu. Kalau ada pemain yang beliau yakin boleh beraksi di pentas tinggi bukan saja dari Johor DT ataupun Pahang, sudah pasti beliau akan panggil,” katanya.

Pembatalan perlawanan dengan Filipina, Harimau Malaya berpeluang mengumpul mata memperbaiki ranking apabila berdepan Hong Kong pada 6 Jun bagi aksi persahabatan serta pra kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan Timor Leste dan Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:17 AM