DARI kiri Toure, Bony dan Gervinho tidak akan mempamerkan aksi di Malaysia.
DARI kiri Toure, Bony dan Gervinho tidak akan mempamerkan aksi di Malaysia.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Hasrat Harimau Malaya untuk beradu kekuatan dengan Ivory Coast tidak kesampaian apabila pasukan juara Piala Negara-Negara Afrika 2015 itu menolak tawaran datang ke Malaysia bulan depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin semalam dan sebagai ganti, skuad kendalian Dollah Salleh akan mengadakan aksi persahabatan antarabangsa menentang Oman di Doha, Qatar pada 26 atau 27 Mac ini.

“Kami baru terima surat Ivory Coast yang menyatakan mereka tidak jadi datang ke Malaysia. Namun Syria dan Oman mahu bermain menentang kita dan Dollah memilih Oman.

“Oman menjemput kita ke negara itu bagi perlawanan pada 26 atau 27 Mac,” katanya.

Sebelum ini, skuad kebangsaan dan peminat tempatan teruja apabila dikhabarkan skuad Ivory Coast yang dibarisi beberapa pemain bintang seperti Yaya Toure, Kolo Toure, Gervinho dan Wilfried Bony akan menentang Harimau Malaya di Stadium Perak, Ipoh.

Anak buah Dollah masih belum memulakan aksi tahun ini selepas muncul naib juara Piala AFF 2014 Disember lalu dan pertemuan dengan Oman yang menduduki ranking ke-91 dunia sekurang-kurangnya mampu memberikan persiapan terbaik buat skuad kebangsaan sebelum pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia Julai ini.

Kali terakhir Malaysia menentang Oman pada 3 September 2010 yang menyaksikan skuad kebangsaan ketika itu dikendalikan Datuk K Rajagobal, tewas 0–3 di Stadium Al-Wakrah, Qatar dalam aksi persahabatan.

Sementara itu Hamidin turut mengumumkan kemungkinan kelab gergasi Inggeris Liverpool mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Malaysia pada 24 atau 25 Julai.

Kali terakhir skuad Reds menjejak kaki di bumi Malaysia pada Julai 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:40 AM