Mohagher
Mohagher

Manila: Ketua perunding Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Mohagher Iqbal semalam merayu supaya dia tidak dipaksa mendedahkan identiti sebenarnya atas alasan keselamatan diri dan keluarganya.

Mohagher yang menghadiri prosiding Senat berhubung rang Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) yang disambung semalam menjelaskan, alasannya mengguna nama samaran amat kompleks.

Senator Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr yang mempengerusikan jawatankuasa Senat bagi kerajaan tempatan bagaimanapun mendesak Mohagher mendedahkan namanya.

“Kami menggunakan nama samaran untuk melindungi diri, keluarga dan perjuangan kami. Jika saya cedera atau terbunuh tidak mungkin saya dapat menghadiri prosiding ini.

“Buat masa ini saya merayu supaya identiti sebenar saya tidak didedahkan,” kata Mohagher.

Dia berjanji mendedahkan nama sebenarnya sebaik BBL - yang bertujuan mewujudkan entiti politik Bangsamoro - diluluskan menjadi undang-undang.

Kata-katanya itu disokong ketua perunding kerajaan Miriam Coroner Ferrer dan penasihat Istana Presiden Teresita Deles yang menegaskan penggunaan nama samaran itu adalah hak peribadi Mohagher.

“Dia amat terkenal dan mempunyai keluarga serta anak yang menggunakan nama sebenarnya.

“Kami sedar MILF masih banyak musuh.

“Selama ini dia menandatangani semua dokumen berhubung rundingan ini dan tidak pernah sekalipun menghilangkan diri.

“Dia membuktikan bahawa dia boleh dipercayai,” kata Teresita. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:48 AM