JURUCAKAP BIFF, Abu Misri (kiri)  di khemah kumpulan itu  yang terletak di bandar Datu Saudi Ampatuan, Maguindanao.
JURUCAKAP BIFF, Abu Misri (kiri) di khemah kumpulan itu yang terletak di bandar Datu Saudi Ampatuan, Maguindanao.
Agensi

Manila: Kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) berkata, mereka tidak akan menyerahkan semula senjata yang dirampas daripada komando polis yang terbunuh dalam pertempuran di Mamasapano Januari lalu.

Jurucakapnya, Abu Misri Mama sebaliknya berkata, anggotanya akan menggunakan senjata berkenaan dalam pertempuran dengan tentera kerajaan.

“Kami tidak meminjam senjata itu. Kerana itu, kami tidak akan memulangkannya,” kata Abu Misri ketika diwawancara Radyo Inquirer 990AM mengenai 10 senjata yang dirampas itu.

BIFF antara kumpulan yang bertempur dengan pasukan elit polis Filipina pada 25 Januari lalu ketika operasi pasukan keselamatan Filipina memburu militan antarabangsa Zulkifli bin Hir, alias Marwan.

Namun, BIFF tidak bertindak seperti Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menyerahkan semula senjata dan kelengkapan yang dirampas daripada 44 anggota polis yang terbunuh dalam pertempuran itu.

MILF minggu lalu memulangkan 16 senjata yang diambil anggotanya kepada kerajaan Filipina.

Dalam wawancara itu, Abu Misri juga berkata, anggotanya yang terbabit dalam pertempuran itu ialah pejuang veteran dan dia dengan bangga berkata, tiada anggota BIFF yang terbunuh dalam kejadian yang meragut nyawa 44 komando polis, 18 anggota MILF dan lima orang awam.

Apabila ditanya sama ada dia mengenali Marwan, dia berkata: “Saya tidak mengetahui jika Marwan masih hidup kerana saya tidak mengenalinya.”

Ketua perunding MILF Mohagher Iqbal, dalam wawancara berasingan dengan radio itu berkata, anggotanya terbabit dalam pertempuran dengan BIFF kerana isu pertikaian wilayah.

BIFF ialah sayap bersenjata Pergerakan Pembebasan Islam Bangsamoro yang meninggalkan MILF ketika puncak rundingan damai dengan kerajaan.

MILF dituduh bersubahat dengan BIFF dalam pertempuran di Mamasapano tetapi ia dinafikan oleh Abu Misri. Katanya, BIFF bukanlah musuh mahupun sekutu kepada MILF.

Menurutnya, kumpulan itu hanya mahu mewujudkan negara Islam dan bukan entiti politik autonomi seperti dicadangkan dalam Undang-Undang Asas Bangsamoro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:28 AM