Agensi

Cotabato City (Filipina)

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sekali lagi menegaskan ia tidak bertanggungjawab atas kejadian berdarah di Mamasapano yang menyaksikan 44 anggota polis, 18 pejuangnya dan lima orang awam terbunuh 25 Januari lalu.

Kejadian itu kini menggugat usaha mencapai menamatkan pergolakan bersenjata di selatan Filipina yang masuk tahun ke-18.

Ketua Perunding MILF Mohagher Iqbal yang juga pengerusi Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro (BTC) berkata, walaupun mereka menghormati hasil siasatan Senat berhubung kejadian itu - yang dinyatakan dalam laporan eksekutif jawatankuasa bagi keselamatan awam dan dadah berbahaya, serta jawatankuasa keamanan, penyatuan, perdamaian dan kewangan - kumpulan itu tetap menegaskan anggota mereka tidak boleh disalahkan.

Mohagher berkata, kejadian itu sebenarnya boleh dielakkan jika polis membuat penyelarasan sewajarnya dengan MILF.

“Kami menghormati pandangan Senat berhubung kejadian itu. Kami juga menghormati hasil siasatan oleh Lembaga Siasatan.

“Bagaimanapun, kami tetap berpendirian MILF tidak bersalah dalam kejadian ini.

“Tragedi 25 Januari lalu boleh dielakkan kerana ada perjanjian keselamatan yang mengikat kami dan kerajaan mengenai cara bekerjasama untuk melancarkan operasi seperti ini,” katanya.

Persetujuan itu, katanya, ditandatangani di Cagayan de Oro pada Julai 1997 antara naib presiden hal ehwal politik MILF ketika itu, Ghadzali Jaafar dan wakil Presiden Fidel Ramos, termasuk setiausaha eksekutifnya Ruben Torres.

Mohagher juga berkata, MILF masih belum membuat rumusan mengenai siasatannya berhubung kejadian itu yang berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Siasatan Khas yang diaktifkan kumpulan itu beberapa hari selepas kejadian Mamasapano.

Menurutnya, pembabitannya dalam siasatan Senat mengenai kejadian berkenaan adalah selaku pengerusi BTC, bukannya ketua perunding

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:14 AM