Bandar Cotabato (Filipina): Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tetap optimis bahawa Kongres Filipina akan meluluskan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

“Walaupun terdapat banyak publisiti buruk, kami optimis BBL akan diluluskan Kongres,” kata MILF dalam satu rencana pengarang yang dimuat naik di laman sesawangnya, luwaran.com.

Keyakinan itu, kata MILF, adalah berdasarkan kepercayaan bahawa Kongres dianggotai individu yang dihormati, bijaksana, berpandangan jauh dan berpengalaman.

“Adalah menjadi satu kepentingan negara untuk menyelesaikan masalah Bangsamoro ini dengan segera.

“Kami percaya kepimpinan kedua-dua dewan Kongres komited terhadap kedamaian dan penyelesaian konflik di Mindanao,” tambah rencana itu.

Rencana pengarang di laman sesawang rasmi MILF itu biasanya ditulis pegawai tinggi kumpulan berkenaan dan pendapat mereka senada dengan barisan kepimpinan yang lain.

Rencana berkenaan mendakwa kebanyakan komen dan serangan daripada ahli Kongres kelihatan penuh dengan sikap prejudis yang menyedihkan dan sengaja untuk memesongkan kenyataan.

“Kebanyakan komen negatif terhadap BBL timbul daripada kejahilan terhadap undang-undang berkenaan dan perasaan benci terhadap penduduk Moro dan MILF,” ujarnya.

Menurut rencana itu lagi, ada ahli Kongres mendakwa bahawa BBL dan kerajaan Bangsamoro ditubuhkan hanya untuk MILF sahaja.

“Dakwaan ini satu salah anggap yang teruk kerana BBL dan kerajaan Bangsamoro adalah untuk rakyat yang mencadangkan satu entiti politik,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:19 AM