GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) berkata, mereka mendapatkan bekalan senjata api dengan mebelinya daripada anggota keselamatan Filipina.

Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal semalam berkata, pembelian itu berlangsung ketika kerajaan Filipina diketuai Gloria Macapagal Arroyo.

“MILF pernah ada kilang membuat senjata, tetapi ditutup selepas kami mencapai persetujuan berdamai dengan kerajaan,” katanya kepada stesen televisyen ABS-CBN News Channel semalam.

Selepas itu, kata Mohagher, MILF membeli keperluan senjata api daripada tentera dan polis Filipina.

Sebelum ini Senator Alan Peter Cayetano menyoal siasat Mohagher ketika sesi perbicaraan di Senat berhubung insiden Mamasapano yang menyebabkan 44 anggota komando polis mati.

Cayetano kemudian menuduh MILF menghasilkan sendiri senjata berkeupayaan tinggi untuk menentang pasukan keselamatan kerajaan.

Dalam temubual dengan stesen televisyen itu, Mohagher bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah senjata yang mereka miliki ketika ini.

Dia juga menafikan MILF mempunyai kem latihan di Sulu.

“Kami sudah meninggalkan sistem kem begitu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:59 AM