Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan (gambar) tidak cemas biarpun dua pemain utama skuad itu dihimpit kecederaan menjelang pertemuan dengan South China dalam aksi Piala AFC di Stadium Mong Kok, malam ini.

Katanya Dickson Nwakaeme dan Zesh Rehman ditimpa kecederaan ketika turun menentang Kelantan dalam aksi Liga Super, tetapi tidak serius dan dijangka dapat diturunkan untuk aksi Kumpulan G itu.

Menurutnya, segala-galanya mengikut perancangan dan tidak ada pemain digantung perlawanan yang diharap dapat membantu misi meraih kemenangan ke atas kelab Hong Kong itu.

“Kemenangan penting bagi mengukuhkan kedudukan kami kerana semua pasukan masih berpeluang layak walaupun South China selesa dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan.

“Kami sudah bersedia berdepan South China walaupun menjangkakan tentangan sengit.

“Saya mahu pemain supaya sentiasa fokus dan menunjukkan disiplin tinggi kerana kemenangan mampu mengubah kedudukan kami,” katanya semalam.

Pahang kini menghuni tangga kedua dengan empat mata, di belakang South China manakala Yadanarbon FC (tiga) dan Global FC (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:51 AM