PEMAIN UiTM  Nursalam Zainal Abidin (kiri) cuba mengawal  bola daripada dirampas pemain Kuantan FA.
PEMAIN UiTM Nursalam Zainal Abidin (kiri) cuba mengawal bola daripada dirampas pemain Kuantan FA.
Oleh Syafiq Aznan

Shah Alam: Pendatang baru Liga Perdana, Kuantan FA yang terpaksa beraksi 10 pemain tewas 2-3 kepada UiTM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium UiTM, petang semalam.

Cubaan untuk bangkit melalui dua gol pantas pada penghujung permainan, namun anak buah Aminuddin Hassan perlu akur dengan kehebatan UiTM FC yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai tuan rumah.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan namun tuan rumah terlebih dulu memecah kebuntuan pada minit ke-15 melalui Abdi Kassim Sadallah yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Kuantan FA, Judtanna Eh Put.

Tersentak dengan gol itu, Kuantan FA melakukan pertukaran dengan mengeluarkan bekas penyerang UiTM FC, Mohd Razren Jesni dan memasukkan Fabrice Noel, namun UiTM FC sekali lagi merobek jaring pasukan pelawat melalui penyudah kemas Dao Bakary selepas menerima hantaran cantik Raslam Khan Abdul Rashid m-39, memberikan kelebihan dua gol kepada tuan rumah pada separuh masa pertama.

Malang terus menyelubungi Kuantan FA apabila pada m-69, penjaga golnya dibuang padang selepas mengasari Muhd Nursalam Zainal Abidin dalam kotak penalti dan penalti disempurnakan Bakary untuk meletakkan UiTM FC selesa 3-0.

Bagaimanapun,semangat juang Kuantan FA tidak padam apabila bangkit menjaringkan gol pertama melalui sepakan penalti Milan Purovic m-84 sebelum gol kedua hasil tandukan Fabrice Noel me-87.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:32 AM