Oleh Asrol Awang


Kuantan: Sentuhan penyerang dari Haiti, Fabrice Noel akan terus diharapkan Kuantan FA apabila melayan kunjungan KL SPA di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Pengurus Datuk Wan Solihi Wan Hassan berkata, biarpun pemain itu masih baru bersama Kuantan FA, gol dijaringkannya ketika tewas 2-3 kepada UiTM FC memberi petanda positif.

Justeru, beliau mahu bekas penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu itu meneruskan gandingan baik dengan Milan Purovic untuk memastikan kemenangan buat pasukan.

“Pengalaman Noel, 29, yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia dilihat mampu membantu menambah kekuatan pasukan sekali gus bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman.

“Kontrak Noel berakhir hujung musim ini dan kami sememangnya mengharapkan sentuhan berbisa pemain berasal dari Haiti itu kerana pengalamannya mampu mengubah pencapaian pasukan.

“Segala-galanya dijangka lebih baik buat Kuantan FA kerana sasaran kita musim ini ialah berada di kedudukan lima terbaik dan ia bergantung kepada prestasi cemerlang semua pemain,” katanya.

Noel dipilih bagi menggantikan penyerang Korea Selatan, Im Kyung-Hyun yang ditamatkan kontrak lebih awal berikutan prestasi kurang memberangsangkan.

Selain Noel, Kuantan FA yang dilatih bekas pengendali Harimau Muda C, Aminuddin Hussin turut memiliki tiga lagi pemain import iaitu Milan Purovic, Lee Kwang-Hyun dan Tarik El Janaby.

Wan Solihi yang juga Naib Presiden Kuantan FA berkata, pertemuan dengan KL SPA diharap memberikan kejayaan buat pasukan kerana perjalanan liga masih jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:35 AM