Aksi penjaga gol pasukan Negeri Sembilan Syed Adney ketika menentang pasukan Pahang Kuantan FA pada perlawanan Liga Perdana Paroi. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Aksi penjaga gol pasukan Negeri Sembilan Syed Adney ketika menentang pasukan Pahang Kuantan FA pada perlawanan Liga Perdana Paroi. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatatkan seri 1-1 dengan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan itu namun barisan depan yang disandarkan harapan gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Skuad Hobin Jang Hobin lebih awal berjaya memecah kebuntuan apabila penyerang dari Australia, Andrew Nabbout bijak memperdayakan penjaga gol Kuantan FA, Mohd Zairi Hafizi untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-33.

Jaringan itu berpunca daripada lorongan Mohamad Nizam Mohd Ruslan dari sebelah kanan pintu gol selepas dia berjaya memperdayakan pemain pertahanan lawan.

Gol itu menyuntik semangat anak buah Gary Michael Phillips apabila menggandakan beberapa asakan ke kubu Kuantan FA.

Bagaimanapun usaha menambah gol terhalang selepas pertahanan lawan menyekat pergerakan jentera serangan tuan rumah sekali gus menamatkan separuh masa pertama yang meletakkan tuan rumah berada di depan.

Sebaik aksi bersambung Negeri Sembilan cuba memperkemaskan lagi jentera serangan mereka dan berjaya mengucarkacirkan pertahanan Kuantan FA selain mencipta beberapa peluang jaringan terutama menerusi Mohd Afiq Azmi, Joel Chianese dan Nabbout.

Bagaimanapun ketika barisan depan Kuantan FA membalas serangan, pertahanan Negeri Sembilan melakukan kesilapan dengan mengkasari pemain lawan dalam kotak penalti.

Penyerang utama Kuantan FA, Dao Bakary menyepak kemas sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan Syed Adney Syed Hussain pada minit ke-53 sekali gus menyamakan kedudukan

1-1.

Pada minit ke-61, kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Hariri Shafii (NS) dan Hazwan Fakhrullah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad selepas kedua-dua pemain berkenaan terbabit dengan pergaduhan.

Negeri Sembilan yang mendapat dua peluang terbaik pada penghujung perlawanan bagaimanapun disia-siakan pemain gantian Mohd Shahzan Alias dan Nabbout sekali gus menamatkan aksi dengan keputusan 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:46 PM