KETELITIAN dalam menghasilkan tempahan emas amat dititikberatkan.
KETELITIAN dalam menghasilkan tempahan emas amat dititikberatkan.
MENGHASILKAN wayang kulit memerlukan ketelitian.
MENGHASILKAN wayang kulit memerlukan ketelitian.
ABDULLAH menunjukkan gelang emas yang sudah siap.
ABDULLAH menunjukkan gelang emas yang sudah siap.
SERBUK emas dileburkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas emas.
SERBUK emas dileburkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas emas.
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Emas memang mempunyai keunikan dan disebabkan nilainya yang eksklusif, Tourism Malaysia Kelantan menjadikan bengkel pertukangan dan Kedai emas Pak Cu Roni sebagai salah satu persinggahan dalam Program FAM Seni Kraf, baru-baru ini.

Bertema The Hidden Arts of Malay Culture, kedai emas Pak Cu Roni di Jalan Che Su, Kota Bharu, menjadi tumpuan kerana masih mengekalkan pembuatan barang kemas secara tradisional.

Pemiliknya, Pak Cu Roni atau Abdullah Mohamad, berkata cara tradisional memberi lebih kepuasan kepadanya.

“Gaya pembuatan tradisional tanpa sebarang penggunaan mesin berteknologi tinggi membuktikan kelainan kualiti barang kemas yang dihasilkan.

“Walaupun dihasilkan dengan cara tradisional, setiap rekaan daripada seutas rantai sehingga sebentuk cincin, ia direka begitu teliti dan rapi dengan mengutamakan kekemasan,” katanya.

Katanya, pelancong yang datang berkunjung ke kedainya, mereka boleh melihat sendiri cara pembuatan dan pengukiran emas dilakukan oleh pekerjanya di belakang kaunter pameran.

“Ada juga datang untuk melihat bagaimana sebentuk cincin dan seutas rantai dihasilkan,” katanya.

Selain kedai emas, wakil media yang menyertai program itu juga melawat bengkel pembuatan alat muzik tradisional milik Aswawi Mohd Isa, di Kampung Pulau Tebu, Tunjong.

Dalam program itu, peserta diberi penerangan mengenai cara pembuatan peralatan muzik tradisional seperti rebana, gedombak ibu dan anak, canang, geduk dan juga serunai.

Aswawi yang juga selaku peneraju kelab kesenian di kampung itu berkata, cara pembuatan alat muzik di situ masih mengekalkan cara tradisional.

Katanya, peserta ditunjukkan cara untuk membuat gendang ibu dan bagaimana prosesnya yang bermula daripada kayu nangka menjadi satu alat yang boleh menghasilkan bunyi yang harmoni.

“Walaupun pembangunan semakin pesat, seni budaya tetap dipelihara,” katanya.

Satu lagi tempat tarikan yang menarik jika pelancong datang ke Kelantan ialah Bengkel Wayang Kulit Pak Dain di Kampung Morak, Tumpat.

Pak Dain atau Muhammad Dain Othman menubuhkan pusat kesenian dan pembelajaran wayang kulit dikenali Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (WKMTK) sejak tujuh tahun lalu.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam persembahan wayang kulit, objektif utama Pak Dain membina WKMTK adalah untuk melatih pelapis generasi muda.

“Pengunjung berpeluang melihat variasi watak wayang kulit tradisional dan moden dalam simpanannya.

“Watak direka bersama pereka animasi, Chuo Yuan Ping bagi memberi kelainan dalam persembahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia Kelantan Nur Aida Ismail berkata, program itu bertujuan memartabatkan seni pembuatan seperti pandai besi, batik tekap, pembuatan emas secara tradisional, wayang kulit dan pembuatan alat muzik tradisional yang semakin pupus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 1:10 PM