PAK Cu masih bersemangat bermain alat muzik tradisional Melayu ketika ditemui di Kampung Padang Lati, Wakaf Bharu.
PAK Cu masih bersemangat bermain alat muzik tradisional Melayu ketika ditemui di Kampung Padang Lati, Wakaf Bharu.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Pada usia 80 tahun, warga emas ini masih bersemangat bermain alat muzik tradisional dan dilihat begitu terpesona jika mendengar alunan irama wayang kulit atau makyung.

Lebih menarik, kemahiran bermain alat muzik tradisional Melayu itu dimainkan lelaki berbangsa Cina, Tiew Eh Tok atau lebih mesra disapa Pak Cu.

Pak Cu berkata, kemahiran bermain alat muzik itu dipelajari hasil pemerhatian dan bakat sendiri.

“Ketika bayi, saya sudah didodoi emak dengan alunan lagu makyung dan boleh dikatakan sudah menjadi irama wajib yang akan diperdengarkan.

“Sebaik meningkat remaja, saya mula membeli serunai diikuti pelbagai alat muzik tradisional lain dan sering menghabiskan masa bermain alat muzik itu.

“Pembelajaran saya adalah atas kepandaian sendiri selain kerap melihat persembahan wayang kulit dan makyung di sekitar kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lati, Wakaf Bharu, di sini, baru-baru ini.

Ketika ditemui Pak Cu meluangkan masa hampir satu jam memperlihatkan kemahirannya bermain gendang, gedombak, gong, kesi dan serunai.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap alat muzik juga adalah antara faktor dia pernah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah galeri muzik tradisional di Pasar Seni.

PAK Cu turut mempamerkan kebolehannya meniup serunai.
PAK Cu turut mempamerkan kebolehannya meniup serunai.

Pak Cu berkata, ada banyak lagu dalam wayang kulit dan semua rentaknya berbeza mengikut babak antaranya irama perang, hulubalang, memburu, mengutip bunga, raja berangkat, mandi bersiram dan mengulit tidur.

“Saya ada didatangi beberapa individu yang ingin belajar bermain alat muzik tradisional dan saya mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Tiada bayaran dikenakan cuma kalau mereka ingin menghulurkan seikhlas hati, saya terima kerana ilmu yang saya ada ini tidak seberapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:50 AM