Hafiz Ithnin


"MASIH terngiang-ngiang pesanan guru saya, Dain yakinlah wayang kulit tak akan mati sebab hilang seorang berganti seorang," jelas lelaki berusia 62 tahun itu yang menjadi generasi ke-13 diakreditasi sebagai Tok Dalang, Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (WKMTK), Muhammad Dain Othman.

Malam itu dari jam 9 sehingga jam 2 pagi penulis bersama jurufoto, Mohd Aswadi Alias dan juruvideo, Muhamad Allyme Ahmad Izam menemubual Muhammad Dain atau lebih mesra disapa Pak Dain dalam masyarakat setempat kerana kisahnya 'mencari tok dalang asli' yang amat mencuri perhatian kami bertiga.

Tidak salah alamat rasanya, apabila Tourism Malaysia membawa kami kumpulan media dari Kuala Lumpur untuk melihat sendiri persembahan wayang kulit tradisional Kelantan yang diterajui Pak Dain malam itu di Galeri WKMTK. Ia bukan sekadar keseronokan menyaksikan persembahan semata-mata.

ANTARA watak wayang kulit moden yang turut dipamerkan di dalam galeri.
ANTARA watak wayang kulit moden yang turut dipamerkan di dalam galeri.

Malah, di sebalik layar putih yang memainkan kisah Hikayat Maharaja Wana itu tersingkap 1,001 sejarah sehingga 'tragedi' yang berlaku dalam warisan seni persembahan berkenaan.

PAK Dain menjadi generasi ke-13 dalam warisan WKMTK ketika ini.
PAK Dain menjadi generasi ke-13 dalam warisan WKMTK ketika ini.

"Sekarang ini, saya masih mencari tok dalang yang diakreditasi dalam WKMTK untuk generasi ke-14, harapnya umur masih sempat," katanya ketika ditanya penulis mengenai generasi selepasnya.

Hakikatnya, menjadi tok dalang dalam WKMTK bukan sesuatu yang mudah kerana jika tidak mempunyai minat, mana mungkin seseorang itu boleh diakreditasi sebagai seorang tok dalang dalam warisan seni persembahan itu.

Pak Dain berkata, di Kelantan khasnya pada era 1950 hingga 1960-an terdapat empat jenis persembahan wayang kulit iaitu WKMTK atau Asli Kelantan, wayang gedek, wayang kulit Jawa dan wayang Melayu.

TOK Dalang menpunyai peranan besar dalam sebuah pementasan Wayang Kulit.
TOK Dalang menpunyai peranan besar dalam sebuah pementasan Wayang Kulit.

Namun, wayang kulit yang popular pada era itu yang masih bertahan sehingga hari ini adalah WKMTK kerana Pak Dain adalah generasi terakhir dan masih mencari generasi baharu.

"Menjadi tok dalang dalam Wayang Kulit Asli Kelantan perlu diakreditasi tok dalang sebelumnya kerana mereka perlu melepasi beberapa penilaian penting iaitu cerita, muzik, pedalangan dan persembahan pentas.

"Kemudian, apabila seseorang itu sudah menguasai empat bidang itu, dia akan dinilai sebanyak tiga kali oleh dalang-dalang utama, pemuzik yang pakar dan ketiga oleh penonton veteran," katanya yang diakreditasi sebagai tok dalang pada 1982.

"Andai kata, tidak sempat mendidik generasi ke-14, bagaimana?, Adakah Pak Dain terkilan?" soal penulis.

"Dari segi seni wayang kulit saya tidaklah berdukacita kerana sesiapa sahaja boleh 'bermain' tetapi dari segi nilai, falsafah dan kualiti amat menyedihkan saya sekiranya tidak mempunyai pewaris seterusnya.

"Sekiranya tidak ada generasi tok dalang ke-14 , maka tiadalah lagi tok dalang dan hanya ada adalah si pembuat persembahan sahaja.

"Tok dalang mempunyai tanggungjawab yang begitu besar dalam setiap persembahan wayang kulit yang bukan sekadar melayangkan watak di sebalik kanvas putih," katanya yang memberi jawapan sarat pengertian.

Cintanya kepada WKMTK mendorong Pak Dain membuka sebuah galeri peribadinya, Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan pada 2010 terletak di sebelah rumahnya di Tumpat selepas bersara sebagai kakitangan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN).

Membuka Galeri itu pada asalnya dengan wang sendiri kemudian mendapat dana tambahan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebenarnya bukan mudah kerana pernah dianggap gila kerana dilihat taksub kepada seni persembahan itu.

"Orang kampung kata saya gila. Kawan yang sebaya dengan saya cakap 'orang tak buat kerja budak-budak macam ini,' 'apalah sudah tua-tua main wayang kulit,' waima ahli keluarga saya pun tidak setuju pada awalnya dengan tindakan saya membuka galeri ini kerana orang sudah tua seperti saya masih main wayang kulit.

"Tetapi semangat itu kian membara apabila teringat pesanan guru saya yang mengharapkan saya untuk menghidupkan wayang kulit ini yang ketika itu pada era 2000 kami sudah di zaman kepupusan kerana sudah tiada jemputan.

PAK Dain
PAK Dain

Malah, sudah diharamkan," katanya yang amat menegaskan persembahan itu tidak berkait rapat dengan unsur pemujaan.Galeri yang memakan belanja hampir RM250,000 itu mempunyai lima bahagian utama iaitu panggung, pameran watak, tokoh dan sejarah, bengkel dan kesusasteraan.Pada hemat penulis, sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam galeri itu ternyata ia bukan kerja gila tetapi Pak Dain ingin mempertahankan seni persembahan itu tidak mati dibawa angin zaman.

Apatah lagi, ia mencakupi segala kisah WKMTK dipamerkan untuk mereka yang tidak kenal mengenai wayang kulit seperti penulis.

Di akhir perbualan Pak Dain berkata, sekurang-kurangnya jika sudah sampai masanya, dia dapat berasa bangga kerana janjinya kepada guru-gurunya mengembangkan seni itu di mata dunia kerana sudah dijemput membuat persembahan seperti di Jerman, Austria, Thailand dan Indonesia."Malah, sudah ada pengkaji warisan menjadikan galeri ini sebagai tempat mereka mencari ilmu," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:00 AM
PAK Dain buktikan usaha wujudkan galeri berbaloi, jadi pusat rujukan pengkaji seni
PAK Dain buktikan usaha wujudkan galeri berbaloi, jadi pusat rujukan pengkaji seni