Oleh Aziman Rosdi

Subang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mengkaji cadangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia, menjadi satu pertandingan dalam usaha menangani masalah jadual padat Liga Malaysia (Liga-M).

Selepas cadangan itu disuarakan dan mendapat reaksi pelbagai pihak menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan sudah mengadakan perbincangan awal dengan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Tengku Abdullah semalam dengan kami mengambil kira saranan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) sama ada boleh mengurangkan perlawanan liga dengan menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Afandi Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) supaya membincangkan perkara itu dalam mesyuarat akan datang.

“Sebarang perubahan adalah untuk musim baru tahun depan kerana sekarang sudah tidak boleh ditukar. Kami akan mengambil kira apa saja cadangan demi kebaikan pasukan kebangsaan dan liga kita,” katanya selepas sidang media pengumuman rasmi perlawanan Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur semalam.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan bekas Penasihat FAM menyuarakan usul supaya Piala FA dan Piala Malaysia digabungkan menjadi satu pertandingan bagi mengurangkan beban pemain yang sering tersepit akibat jadual padat perlawanan, khususnya mereka terbabit dengan skuad kebangsaan.

Baginya, jadual Liga-M yang padat menjejaskan prestasi pemain bukan saja ketika bersama pasukan atau kelab masing-masing malah sewaktu beraksi di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya.

Namun cadangan itu mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak termasuk bekas pemain kebangsaan Datuk Shukor Salleh yang mahu piala itu dikekalkan kerana setiap piala mempunyai nilai prestij tersendiri.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar turut senada dengan pandangan itu namun menuntut FAM lebih bijak dalam menyusun jadual perlawanan.

Selain penggabungan dua piala itu, ada juga cadangan supaya penyertaan pasukan dalam Liga-M dikurangkan dan Hamidin menegaskan mereka akan membuat penelitian mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

“Itu antara pilihan yang kita ada sekarang (kurangkan pasukan dan gabungkan piala). Tapi kita juga perlu lihat dari sudut komersil dan nilai perlawanan itu.

“Kita tak mahu nanti ada pasukan merungut perlawanan berkurangan. Apapun kena buat yang terbaik untuk skuad kebangsaan kerana kita bukan macam negara lain yang apabila kumpul sekejap sudah boleh bermain bersama seperti pasukan Eropah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:25 AM