KEVIN (dua kiri) ketika bertemu semua wakil pasukan bertanding  di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
KEVIN (dua kiri) ketika bertemu semua wakil pasukan bertanding di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Format Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan kekal seperti musim ini apabila saingan Piala Malaysia berlangsung serentak dengan Liga Super dan Liga Perdana.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam hasil pertemuan dengan wakil semua pasukan negeri dan kelab semalam.

“Saingan Liga Super dan Liga Perdana serta Piala Malaysia akan diadakan serentak. Pasukan memilih untuk kekal dengan format seperti tahun ini kerana mereka mahu memberi peluang kepada pendekatan ini berjaya,” kata Kevin ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat Liga-M semalam.

Berdasarkan jadual awal, kempen Liga-M 2017 akan bermula dengan aksi sumbangsih antara penyandang juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan juara Piala Malaysia Kedah di Larkin pada 20 Januari. Turut dilangsungkan pada tarikh itu perlawanan Liga Perdana.

Perlawanan lain Liga Super akan diadakan pada 21 Januari dengan kempen Piala Malaysia pada Ogos dan berakhir pada 28 Oktober.

Kevin berkata, jadual liga sedikit padat pada Julai kerana saingan akan berehat Ogos bagi memberi laluan kepada Sukan SEA Kuala Lumpur manakala tiada sebarang perlawanan berlangsung ketika Ramadan.

“Dari segi penjadualan kami sudah cuba memastikan perlawanan ada jarak tapi kerana Sukan SEA berlangsung Ogos, kami akan berehat tiga minggu, jadi jadual Julai akan sedikit padat. Selain itu, OK,” katanya.

Mengulas mengenai isu pendaftaran PKNS FC dalam Liga-M musim depan, Kevin berkata pihaknya akan meneliti terlebih dulu surat penyertaan kelab itu yang kini dikatakan sudah bergabung dengan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS) selepas tidak mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

“Hal ahli gabungan ini di bawah statut FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jadi hanya mereka layak menentukan sama ada setiap pasukan itu ahli gabungan atau tidak. Kami akan merujuk dulu kepada FAM, kalau mereka cakap sah maka FMLLP akan terima penyertaan PKNS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 8:31 AM