Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Kekalkan nilai prestij kejohanan itu, tidak perlulah digabungkan,” kata bekas pemain kebangsaan Datuk Shukor Salleh yang menolak cadangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggabungkan Piala FA dengan Piala Malaysia menjadi satu pertandingan saja.

Pemain legenda itu berkata, alasan jadual padat sehingga menjejaskan prestasi pasukan tidak boleh diterima kerana setiap pemain perlu bersedia mengharungi musim panjang manakala jurulatih perlu bijak menggunakan pemain dalam pasukan masing-masing.

“Jadual padat memang tidak boleh dielakkan, kalau kita lihat di England misalnya, mereka juga mempunyai banyak kejohanan seperti Liga Juara-Juara dan Liga Europa serta kejohanan domestik namun tiada sebab untuk mereka menggabungkan mana-mana pertandingan menjadi satu.

“Setiap pemain kena bersedia sepanjang musim dan selagi jadual perlawanan memberikan tempoh rehat mengikut ditetapkan FIFA, pada saya perkara itu tidak sepatutnya menjadi masalah. Saya tidak bersetuju kalau Piala FA dan Piala Malaysia digabungkan menjadi satu pertandingan kerana setiap piala itu mempunyai nilai prestij tersendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Idea untuk menjadikan Piala FA dan Piala Malaysia sebagai satu pertandingan dicetuskan Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kerana beranggapan kejuaraan itu termasuk Liga Super menjadikan jadual Liga Malaysia padat sehingga menjadi punca kegagalan pemain beraksi dengan lebih berkualiti khususnya mereka yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Namun Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah yang turut menolak cadangan itu menjelaskan pihaknya sudah memberikan perancangan terbaik kepada kalendar bola sepak negara bagi memberikan keselesaan semua pihak.

Shukor yang pernah merangkul Piala Malaysia bersama Pulau Pinang pada 1974 faham situasi yang dihadapi sesetengah pasukan tempatan yang turut terikat dengan Piala AFC.

“Memang ada pasukan berdepan kesukaran apabila turut bermain dalam Piala AFC tapi dalam satu pasukan ada lebih 25 pemain jadi takkan jurulatih menggunakan pemain yang sama untuk setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:15 AM