Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Segala kekalutan berhubung agihan hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) bakal diselesaikan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan sesi taklimat bersama semua pasukan terbabit pada 6-7 Mei.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar kiri) berkata, semua pihak diberikan hak untuk bersuara bagi menyatakan segala persoalan dan rasa tidak puas hati mengenai isu dibangkitkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Semua pasukan negeri dan kelab akan diberi peluang menyatakan pendapat pada sesi taklimat itu nanti. Taklimat ini diadakan bagi berkongsi pandangan serta memberikan penjelasan berhubung penswastaan liga 2016,” katanya semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail meminta presiden persatuan bola sepak negeri dan kelab tidak menjadi pengecut sebaliknya tampil menuntut hak penyiaran yang sepatutnya disalurkan kepada setiap pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).

Presiden PBNJ itu berkata, semua persatuan sepatutnya menerima 70 peratus daripada hak penyiaran seperti di luar negara dan bukan 30 peratus sebagaimana ditetapkan FAM sebelum ini menerusi penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) hasil kerjasama dengan MP & Silva Januari lalu.

Menerusi perjanjian dengan syarikat pemegang hak penyiaran terkemuka antarabangsa itu, FAM bakal menerima RM1.26 bilion untuk tempoh 15 tahun dengan purata RM70 juta bagi tahun pertama sebelum jumlahnya meningkat hingga RM103 juta bagi tiga tahun terakhir.

Bagaimanapun jumlah pulangan dijanjikan MP & Silva itu hanya bermula sebaik penswastaan liga dilaksanakan tahun depan.

Namun Hamidin menegaskan ‘kantung’ FAM tidak susut walaupun hingga sekarang mereka masih belum mengumumkan pemilik hak penyiaran serta penaja utama liga.

“Kita sudah memuktamadkan perjanjian dengan penaja, mungkin jumlah penajaan itu lebih kurang sama dengan tahun lalu. Kami akan umumkan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu mengenai cadangan Tunku Ismail supaya FAM mengadakan perlawanan Liga M pada Ramadan bagi memastikan jadual liga tidak singkat dan padat, Hamidin berkata perkara itu sudah dilaksanakan FAM musim ini.

“Tahun ini memang pasukan perlu bermain beberapa perlawanan dalam bulan puasa. Ini sememangnya sudah disusun awal JKPT (Jawatankuasa Pertandingan Tempatan).

“Perlawanan dalam bulan itu tidak dapat dielakkan kerana liga tahun ini bermula lewat dan mempunyai tempoh singkat untuk menghabiskan semua pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:04 AM