KEPUTUSAN untuk meminda jadual perlawanan Liga M sudah terlambat.
KEPUTUSAN untuk meminda jadual perlawanan Liga M sudah terlambat.
Oleh Isma Ismail


Johor Bahru: Presiden Persatuan Bolasepak Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengaku misi skuad kebangsaan perlu diutamakan tetapi langkah untuk meminda jadual Liga-M tahun ini tidak sesuai.

Menurutnya, tindakan itu sudah agak terlambat kerana hampir separuh perlawanan musim ini berlangsung sekali gus boleh menjejaskan pasukan dalam liga.

“Sepatutnya ia perlu dirancang lebih awal supaya tidak mengganggu, tindakan seperti itu demi kebaikan pasukan kebangsaan dan liga.

“Saya berpendapat FAM bukan hanya memikirkan keperluan pasukan kebangsaan untuk mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019, Jun ini tapi juga bagi tahun depan.

“Oleh itu, FAM sudah boleh membincangkan jadual liga tahun depan dan juga keperluan pasukan kebangsaan bukannya tunggu hingga saat akhir seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata, memang jelas persiapan pasukan kebangsaan terlampau singkat dan jadual liga juga terlalu padat sekali gus menyebabkan pemain keletihan.

“Oleh itu, mungkin FAM boleh mengatur jadual supaya memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan,” kata Tunku Ismail mengulas kenyataan pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh yang berharap diberikan tempoh secukupnya untuk menyediakan pasukan mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:04 AM