KIM Swee perlu bentuk pasukan mantap hadapi Sukan SEA.
KIM Swee perlu bentuk pasukan mantap hadapi Sukan SEA.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Kalau nak rombak jadual (Liga Super dan Liga Perdana) memang sukar kerana tidak ada ruang lagi untuk diselit.”

Itu jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam yang mengakui sukar untuk melakukan sebarang pindaan terhadap jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.

Katanya, isu membabitkan keengganan beberapa pasukan liga tempatan yang sukar melepaskan pemain bagi mengikuti persiapan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) tidak seharusnya berlaku kerana perkara terbabit sudah dibincangkan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini.

“Isu ini sudah dibincangkan bersama Tunku Ismail beberapa minggu lalu dan ketika itu semua pasukan tidak menyatakan sebarang bantahan mengenai jadual dan sebagainya.

“Untuk merombak jadual saya kira agak sukar. Kesemua pasukan perlu menghabiskan baki saingan Liga-M dalam empat bulan kerana liga kita akan berakhir pada penghujung Oktober ini.

“Kita juga akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ogos nanti selain aksi skuad kebangsaan berdepan Korea Utara pada September, jadi memang tidak ada ruang masa lagi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Hasil pendedahan akhbar ini sejak minggu lalu, dilaporkan beberapa pasukan dan kelab tempatan melahirkan kebimbangan untuk melepaskan pemain mereka menyertai skuad B-22 negara yang ketika ini sedang giat mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 (19-23 Julai) dan Sukan SEA Kuala Lumpur (19-30 Ogos).

Antara pasukan melahirkan kebimbangan itu adalah Pulau Pinang yang kini berada di zon penyingkiran Liga Super selain sebuah lagi kelab di Liga FAM, FELCRA FC.

Walaupun begitu, FELCRA paling lantang menyuarakan isu berkenaan apabila menegaskan bersedia menyekat dua pemain mereka Adib Zainuddin dan N Thanabalan daripada menyertai skuad B-22 yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee itu.

Bagaimanapun, mereka bersedia melepaskan dua pemain itu sekiranya FAM bersetuju dengan syarat membenarkan mereka berdua beraksi bersama FELCRA dalam baki tiga aksi menentang DBKL (9 Julai), Shahzan Muda (16 Julai) dan Hanelang (23 Julai).

“Apapun, kami bukan kejam. Sekiranya FAM merasakan perlu juga jadual berkenaan dirombak demi agenda nasional, kita boleh lakukan dengan saingan Liga-M terpaksa dipanjangkan hingga ke November.

“Tapi suka saya ingatkan di mana lebih banyak impak buruk akan berlaku seperti isu kontrak pemain yang rata-ratanya akan tamat pada Oktober serta tempoh persiapan musim baru yang singkat kepada semua pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 3:47 AM