PASUKAN Johor DT lakar sejarah baru bola sepak negara.
PASUKAN Johor DT lakar sejarah baru bola sepak negara.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjulang Piala AFC perlu menjadi inspirasi kepada pasukan tempatan lain untuk meraih kejayaan di peringkat tinggi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menghulurkan sokongan padu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pasukan tempatan perlu mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan di pentas Asia, bukan saja bagi saingan domestik.

“Kami di FAM sentiasa bersedia memberikan bantuan dan sokongan berterusan pada masa akan datang termasuk dari aspek penyusunan jadual liga domestik yang tidak terlalu padat buat wakil negara bagi pertandingan Piala AFC.

“Ternyata ia sedikit sebanyak membantu Johor DT mara hingga ke perlawanan akhir tahun ini,” jelas Hamidin yang turut menyaksikan perlawanan akhir di Dushanbe, Tajikistan, kelmarin.

FAM musim ini jelas memberikan kelonggaran kepada Johor DT dan Pahang yang beraksi pada kancah Piala AFC dengan menunda dan meminda beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) untuk memberi ruang secukupnya kepada dua pasukan itu bersaing di pentas Asia.

Johor DT melakar sejarah baru bola sepak negara apabila muncul pasukan pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara bergelar juara Piala AFC edisi ke-12 menewaskan FC Istiklol 1-0, malam kelmarin.

Katanya, Selangor muncul pasukan pertama dari Malaysia layak ke final edisi sulung Kejohanan Kelab Juara Asia (sebelum ditukar namanya ke Kejuaraan Kelab Asia dan Liga Juara-Juara AFC) pada 1967 tetapi tewas 1-2 kepada kelab Israel, Hapoel Tel Aviv namun Johor DT melakar satu lagi sejarah baru.

“Sebelum ini, wakil dari Malaysia hanya mampu ke peringkat suku akhir saja sebelum Johor DT mencipta sejarah muncul pasukan pertama berjaya mara ke separuh akhir disusuli final dan seterusnya bergelar juara,” katanya.

Hamidin yang mewakili Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta kepimpinan badan induk bola sepak negara mengucapkan tahniah kepada Johor DT terutamanya Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tunjang utama mengubah landskap bola sepak Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:10 AM