PEMBANTU Bilal Masjid Nilam Puri Aiwan Awang, 21, menunjukkan serpihan cermin tempat mangsa meletakkan kenderaan. FOTO Rosliza Mohamed
PEMBANTU Bilal Masjid Nilam Puri Aiwan Awang, 21, menunjukkan serpihan cermin tempat mangsa meletakkan kenderaan. FOTO Rosliza Mohamed
Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Seorang kakitangan awam wanita berusia 40-an kerugian lebih RM3,000 apabila cermin kereta Perodua Myvi miliknya dipecah dan beg tangan dilarikan di Masjid Nilam Puri, Kota Bharu, kira-kira 6 petang semalam.

Difahamkan dalam kejadian itu, wanita terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang berhenti untuk solat Asar di masjid itu dan meletakkan beg tangannya di tempat duduk penumpang hadapan.

Keretanya diletakkan di tempat meletak kenderaan di perkarangan masjid dan berada di sebelahnya adalah sebuah kereta pacuan empat roda.

Bagaimanapun, sebaik selesai solat, wanita itu mendapati cermin tempat duduk penumpang hadapan sudah pecah dan beg tangannya dilarikan.

Dalam beg itu mempunyai sejumlah wang tunai, dokumen pengenalan diri, pelbagai kad ATM dan tablet jenis Lenovo.

Kejadian itu turut direkodkan kamera litar tertutup (CCTV) milik masjid serta tersebar di Facebook dan perbuatan disyaki dilakukan dua lelaki yang menaiki pacuan empat roda itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan dua suspek lelaki terbabit kejadian itu.

Katanya, semakan ke atas nombor pendaftaran pacuan empat roda digunakan mendapati ia palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 5:17 PM