SAKIRIN menunjukkan kesan tembakan di kawasan rumahnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SAKIRIN menunjukkan kesan tembakan di kawasan rumahnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed dan Attirmidzie Rahman


PENIAGA dan menantu nyaris ditembak apabila tiga lelaki ala ‘ninja’ menyamun mereka di hadapan rumah di Kampung Tiong, Kota Bharu, 6.55 pagi, hari ini.

Ketika kejadian, Abdul Karim Daud, 56, dan menantunya Sakirin Ahmad, 34, baru pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjid Kampung Kubang Kacang yang terletak lebih satu kilometer dari rumah mereka.

Abdul Karim berkata, dia memandu Toyota Hilux dan tidak menyedari kenderaannya diekori Proton Saga BLM yang dinaiki tiga lelaki berkenaan.

"Selasai solat, saya terus memandu pulang dan tidak sedar diekori memandangkan kereta mereka tidak membuka lampu.

"Ketika saya mahu mengundurkan kenderaan. Tiba-tiba ternampak kereta itu dan dalam masa sama seorang daripadanya turun sambil membawa parang. Dua lagi berada di dalam kereta.

"Dia juga menutup muka dengan kain serban, hanya nampak mata sahaja. Lelaki itu meminta kunci Hilux saya beberapa kali, namun saya tidak serahkan sehingga dia pecahkan cermin tingkap," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia sempat bergelut dengan lelaki itu sebelum mendengar bunyi tembakan dilepaskan.

"Saya terkejut dan keluar menerusi pintu tempat duduk penumpang hadapan. Ketika itu menantu saya berdiri di luar rumah. Dia ke masjid menaiki kenderaan lain," katanya.

Abdul Karim bersyukur mereka tidak diapa-apakan dan tembakan yang dilepaskan tersasar ke dinding rumah.

Pacuan empat roda itu dibelinya tahun lalu dan bernilai RM126,000.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan ketika ditemui pada Kejohanan Ping Pong Piala Ketua Polis Kelantan di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok, Bachok, mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, suspek dipercayai bersenjatakan parang dan pistol bertindak menyamun pacuan empat roda dinaiki mangsa yang pulang dari masjid.

"Keterangan mangsa sudah diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Usaha memburu ketiga-tiga suspek juga giat dijalankan. Kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 7:18 PM