PERIKSA dengan teliti terma dan syarat yang dikenakan ketika musim jualan murah.
PERIKSA dengan teliti terma dan syarat yang dikenakan ketika musim jualan murah.

Karnival jualan murah sememangnya mengundang kegembiraan kepada majoriti wanita (juga lelaki).

Saat inilah ramai yang berpeluang berbelanja besar atau mendapatkan barangan mewah tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Di sebalik keghairahan itu, perlu juga diingatkan bahawa setiap pembelian mestilah berbaloi dengan jumlah wang yang dikeluarkan dan keperluannya.

Mungkin ada segelintir yang lantang mengatakan enggan berbelanja pada pakaian, seluar, kasut, beg tangan dan sebagainya ketika musim jualan murah nanti tetapi percayalah, pasti ada satu atau dua barangan yang dibeli dek tertarik dengan harga yang ditawarkannya.

Sebaiknya berusaha mengawal diri. Tidak semua yang kita lihat di rak itu sesuai atau padan dengan diri hanya disebabkan ia hadir dalam warna kegemaran kita.

Hentikan menipu diri sendiri. Seandainya diri memikirkan pro dan kontra sebelum membeli pakaian, seeloknya letak semula di raknya lalu tinggalkan kedai. Ia hanya menyelamatkan diri daripada membeli secara melulu.

Cuba elakkan juga jika diri mengatakan....

Tetapi ia diletakkan dalam harga promosi...

Tidak! Harga promosi biasanya perangkap untuk membuatkan kita berbelanja lebih pada barangan yang tidak sepatutnya.

Cuba fikir secara objektif, mengapa perlu menambah himpunan pakaian dalam almari sedangkan ada di antaranya jarang, malah tidak pernah dipakai?

Hanya disebabkan harga promosi, tidak bermakna kita perlu membelinya.

Mungkin jika saya ubah suai sedikit di bahagian ini...

Jika kita mula menarik bahagian bawah pakaian atau melaras talinya, walaupun sudah di tahap maksimum ketika mencuba pakaian, bayangkan betapa kecewanya diri apabila terpaksa memakainya dalam dunia realiti?

Mungkin jika saya memakai coli berbeza...

Secara realistiknya, wanita memakai coli berbeza dan mahal hanya untuk acara istimewa. Selebihnya, coli biasa lebih selesa dan memudahkan pergerakan.

Jadi jika pakaian itu memerlukan kita menukar coli semata-mata untuk membuatkannya kelihatan cantik di tubuh, lupakan saja.

Ia tidak berbaloi untuk dibelanjakan.

Mungkin jika saya kurangkan berat badan...

Impian dan sasaran untuk menurunkan berat badan amat digalakkan terutama atas faktor menjaga kesihatan.

Tapi percayalah, berapa ramai sebenarnya dalam kalangan kita yang berjaya menurunkan berat badan sehingga ke tahap ideal, sekali gus membolehkan kita menyarung pakaian yang dibeli itu?

Sebaiknya, beli pakaian selepas berat badan itu berjaya diturunkan dan biarkan helaian terbabit menjadi objek motivasi untuk diri terus kekal dalam berat badan seimbang.

Saya patut membeli tiga pakaian ini kerana ia promosi pada satu harga...

Jangan! Hindari diri daripada menjadi mangsa strategi pemasaran penjual. Hanya beli apa yang diperlukan. Jika boleh dikongsi atau dibahagikan dengan individu lain, bolehlah meneruskan hasrat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:06 AM