TAMPAK mewah dan bergaya.
TAMPAK mewah dan bergaya.
Oleh Erywan Norshal


Hanya 510 unit, itulah kelebihan trak pikap Isuzu D-Max Artic selepas menerima sentuhan edisi lebih mewah berbanding varian sebelum ini.

Kehadirannya pasti memecah tradisi kegunaan trak pikap apabila ia boleh memenuhi keperluan masyarakat urban sebagai pengangkutan harian mereka.

Ciri yang ada pada Isuzu D-Max Artic membuatkan ia lebih berani dengan gaya tersendiri, selain tampil eksklusif dan relevan dengan kehidupan masyarakat kota.

Ia menjadi antara trak pikap pertama menggunakan lampu pencahayaan siang LED, sekali gus memberi penampilan canggih dan tersendiri.

Semburan warna putih mutiara pada luarannya sehingga ke acuan badan bahagian bawah sisi pintu dan bahagian atas spoiler kargo belakang membuat­kan ia tampak lebih unik serta menarik.

Ia turut digabungkan dengan kemasan krom pada beberapa komponen bahagian luarannya.

Pemijak sisi pula menggunakan material aluminium disalut perak dan lebih bergaya lagi apabila menggunakan rim aloi Hyper-Silver bersaiz 17 inci untuk membezakannya dengan varian lain.

Melangkah ke bahagian dalamnya, ia seolah-olah masuk ke kabin 'lounge' yang mewah. Mana tidaknya, kerusinya dibaluti material kulit asli Itali untuk keselesaan, selain mengambil berat berhubung isu keselamatan penumpangnya.

Selari dengan Isuzu D-Max, tempat duduk direka pada tahap keselamatan paling tinggi, termasuk perlindungan kecederaan jika kenderaan dilanggar dari belakang.

Ruang kabinnya turut diserlahkan menerusi kemasan kayu pada pemegang pintu, papan pemuka dan konsol tengahnya serta menggunakan pelapik kaki cok­lat, manakala bahagian papan pemukanya dilengkapi pula pemain audio 2-DIN lengkap dengan kamera undur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida berkata, Isuzu D-Max Artic mampu memberi keseronokan pemanduan dengan ciri kemewahan dalam model edisi terhad itu.

"Kami cuba memberikan kepada pelanggan kami kenderaan yang dapat membezakan menerusi gabungan ciri-ciri premium dan bergaya.

"Model ini membangkitkan rasa bangga pemiliknya kerana sukar kenderaan kategori itu tampil dengan imej sedemikian," katanya.

Isuzu D-Max Artic ditawarkan dengan pilihan enjin 2.5 atau 3.0 liter dan harganya bermula antara RM106,689 sehingga RM115,959.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM