AHMAD Zahid ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu. FOTO Bernama
AHMAD Zahid ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu. FOTO Bernama
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam hari ini, bukan 'gula-gula' susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu yang diadakan ketika ini.

"Hari ini adalah Hari Pekerja, apa jua dilakukan kerajaan pasti ada pelbagai interpretasi... tetapi kerajaan bertanggungjawab memenuhi apa yang dijanjikan sebelum ini kepada penjawat awam," kata beliau kepada pemberita di pekarangan Kompleks Umno Jelebu, Simpang Pertang, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno meluahkan keyakinan terhadap sokongan akar umbi Umno terhadap Pakatan Harapan (PH) pada PRK kali ini.

"Biarpun tidak bertanding dalam PRK ini, Umno tetap dijadikan sasaran oleh pihak lain (parti lawan) termasuk dalam soal hubungan dengan DAP dengan isu terbaru berkaitan logo.

"Kita percaya mereka (parti lawan) sudah ketandusan modal untuk menghentam Umno, sebaliknya kita percaya akan berlaku perubahan dalam kalangan pengundi berikutan Umno sudah melakukan siri penjelasan melalui jelajah akar umbi, ada isu atau perkara yang sebelum ini kabur sudah diberi pencerahan," katanya.

Mengenai tindakan MCA yang meneruskan hasrat tidak membantu kempen PRK kali ini, Ahmad Zahid berkata, ia bersifat sementara dan beliau akan terus menemui kepimpinan MCA berkaitan isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:11 PM