Lizam Ridzuan


ISUZU Malaysia Sdn Bhd hari ini memperkenalkan trak pikap edisi terhad Isuzu D-Max X-Series dengan konsep Urban Sports diberi peningkatan pada bahagian luaran dan dalaman tampil lebih menarik.

Kenderaan yang disasarkan untuk golongan pembeli lebih muda kini didatangkan dengan gril rekaan baru, skirting depan dwi tona sentuhan warna merah pada bahagian belakang skirting dan aero sport bars yang menyerlahkan gaya metropolitan.

Bagi membezakan dengan varian lain, ia dihiasi pelekat jalur sporty pada bonet dan pintu kargo belakang serta model ini dipadankan dengan rim aloi 18 inci.

Ruang dalaman D-Max X-Series juga didatangkan dengan ciri keselesaan dan teknologi terkini dilengkapi Monitor Pemandangan Sekitar (AVM) 360 darjah, tag elektronik binaan dalam serta tempat duduk kulit jahitan merah berbentuk sarang lebah.

Untuk pasaran Malaysia D-Max X-Series dikeluarkan sebanyak 210 unit saja bagi enjin 2.5L (90 unit) dan 3.0L (210 unit) dijual masing-masing pada harga RM118,000 dan RM124,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu putih dan hitam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi bagi Kenderaan Komersial Ringannya, Masayuki Suzuki berkata, mereka menyasar jualan 5,500 unit untuk trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV), tahun ini.

Katanya, sejak pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Jun lalu jualan mereka meningkat tiga kali ganda dan yakin kekal sehingga bulan hadapan.

“Stuasi ini dilihat positif untuk industri automotif di Malaysia dan ia akan dapat mengimbangi unit jualan kami sehingga hujung tahun ketika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mula dilaksanakan pada September nanti,” katanya pada pelancaran trak pikap D-Max baru di Shah Alam, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 8:36 PM
PENGURUS Besar ISUZU Malaysia, Kenkichi Sogo (empat kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi ISUZU Malaysia, Genichi Ichikawa (empat kanan) ketika majlis pelancaran. FOTO Sairien Nafis
PENGURUS Besar ISUZU Malaysia, Kenkichi Sogo (empat kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi ISUZU Malaysia, Genichi Ichikawa (empat kanan) ketika majlis pelancaran. FOTO Sairien Nafis