ABANG Johari, gambar fail. FOTO Bernama
ABANG Johari, gambar fail. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Simunjan: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kadar baharu gaji penjawat awam negeri selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menaikkan 15 peratus gaji penjawat awam Persekutuan, hari ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, beliau menetapkan tempoh satu bulan setengah dari sekarang bagi melengkapkan kajian itu.

Beliau berkata, kenaikan gaji penjawat awam negeri itu akan dilaksanakan menerusi pakej khas.

"Seperti yang saya janjikan pada majlis Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini, kita menunggu pengumuman Perdana Menteri berhubung kenaikan gaji penjawat awam Persekutuan.

"Hari ini beliau sudah mengumumkannya yang bukan sahaja kenaikan gaji sektor awam malah beliau mahu pihak swasta mengambil langkah sama dan kita di Sarawak juga sedang meneliti langkah sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kajian teliti perlu diadakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan, namun beliau memberi jaminan bukan masalah untuk kerajaan Sarawak menaikkan gaji penjawat awam negeri.

"Insya-Allah, dengan kedudukan sekarang kita mampu menanggung kenaikan gaji penjawat awam negeri.

"Saya akan mengumumkan secara rasmi sebaik sahaja kajian selesai dalam tempoh satu bulan setengah dan apa yang akan dinikmati penjawat awam negeri kali ini dijangka lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 6:38 PM