MOHAMAD Radzi (kiri) bersama Ketua Operasi Jualan ACM, Saifol Adly Mahmood memperkenalkan Isuzu D-Max Serba Baharu di bilik pameran cawangan Batu Caves.
MOHAMAD Radzi (kiri) bersama Ketua Operasi Jualan ACM, Saifol Adly Mahmood memperkenalkan Isuzu D-Max Serba Baharu di bilik pameran cawangan Batu Caves.
Oleh Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Automotive Corporation (Malaysia) Sdn Bhd (ACM), anak syarikat DRB-Hicom yang juga pengedar kenderaan komersial dan trak pikap Isuzu di negara ini memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk penambahbaikan bilik pameran dan servis.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohamad Radzi Omar berkata, syarikat memiliki enam cawangan di seluruh negara yang terletak di Shah Alam, Batu Caves, Juru, Johor Bharu, Kuantan dan Ipoh.

"Dalam memberi lebih keselesaan kepada pengguna, khidmat selepas jualan yang berkualiti dan terbaik adalah faktor penting dalam memastikan kelegaan kepada pelanggan.

"Proses naik taraf ini meliputi ruang pameran dan servis yang lebih kondusif dan dijangka siap keseluruhannya pada hujung tahun ini," katanya ketika memperkenalkan model Isuzu D-Max Serba Baharu di sini, baru-baru ini.

Untuk trak pikap Isuzu D-Max Serba Baharu, ACM menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak 40 unit sebulan daripada semua pengedar mereka.

Trak pikap generasi ketiga itu kini tampil dengan rekaan serba baharu dengan dua pilihan enjin iaitu 1.9 liter dan 3.0 liter Blue Power diesel turbo dengan tujuh varian.

Ia terdiri daripada model Single Cab (1.9 liter dan 3.0 liter), Standard 4x4 manual dan automatik (1.9 liter), Premium 4x4 (1.9 liter dan 3.0 liter) dan paling tinggi X-Terrain dengan enjin 3.0 liter 4x4.

D-Max juga kini dilengkapi ciri keselamatan terbaik dengan Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) yang terdapat pada varian tertinggi iaitu X-Terrain.

Isuzu D-Max Serba Baharu dijual pada harga bermula RM88,599 sehingga RM141,938.

Selain trak pikap ACM juga menawarkan lori komersial termasuk ciri binaan khas bagi disesuaikan dengan keperluan bidang perniagaan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:01 AM