DE VRIJ (dua kiri) menanduk masuk gol pertama Belanda.
DE VRIJ (dua kiri) menanduk masuk gol pertama Belanda.

Amsterdam: Belanda sekali lagi membuktikan mereka terlalu bagus berbanding Sepanyol apabila gol sumbangan Stefan de Vrij dan Davy Klaasen membantu tuan rumah menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Amsterdam, awal pagi semalam.

Sepanyol berharap dapat membalas dendam kekalahan 1-5 di tangan Belanda pada Piala Dunia tahun lalu, namun peluang mereka terjejas menerusi dua gol dalam 15 minit pertama.

De Vrij melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran silang Wesley Sneijder sebelum Klaasen mendapat banyak ruang dalam kotak penalti sebelum merembat masuk bola muntah selepas David de Gea menyelamatkan percubaan pertamanya.

Kecundang bermakna juara Eropah itu kini tewas perlawanan persahabatan menentang tiga pasukan terkuat benua itu Perancis, Jerman dan Belanda sejak tersingkir secara aib selepas hanya dua perlawanan pada Piala Dunia.

“Agak mustahil kami tidak menjaringkan gol,” kata bos Sepanyol, Vicente del Bosque. Kami dihukum kerana 20 minit pertama. Kami mendominasi perlawanan, kami mengungguli mereka dan banyak peluang, hanya kami tidak menyumbat gol.”

Rakan sejawatnya di Belanda, Guus Hiddink menyatakan ia keputusan yang bagus namun menafikan ia amat penting buatnya sekalipun ia kemenangan ketiganya dalam lapan perlawanan sejak mengambil alih selepas pusingan akhir Piala Dunia tahun lalu.

“Keputusan ini meningkatkan keyakinan pasukan,” kata pengendali berusia 68 tahun itu, yang tampil kali kedua bersama pasukan kebangsaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:23 AM