HUNTELAAR (kanan) jaring gol penyamaan pada minit kedua masa tambahan.
HUNTELAAR (kanan) jaring gol penyamaan pada minit kedua masa tambahan.

Amsterdam: Gol masa kecederaan Klaas-Jan Huntelaar membantu Belanda seri 1-1 dengan Turki dalam Kumpulan A kelayakan Euro 2016, awal pagi semalam.

Percubaan penyerang Galatasaray, Burak Yilmaz yang tertampan masuk pada minit ke-37 membantu pelawat mendahului dan kelihatan hampir melakukan kejutan besar terhadap tuan rumah sekali gus mampu meningkatkan tekanan terhadap jurulatih Belanda, Guus Hiddink.

Bagaimanapun, gol Huntelaar pada minit kedua masa kecederaan membolehkan Belanda meneruskan rekod tanpa kalah di laman sendiri pada perlawanan kompetitif sejak Oktober 2000.

Namun, mereka gagal merekod kemenangan ke-20 berturut-turut di laman sendiri dan kekal di tangga ketiga Kumpulan A selepas separuh saingan, lima mata di belakang pasukan tangga kedua, Iceland, yang menang 3-0 ke atas Kazakhstan.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan akhir di Perancis tahun depan dengan pasukan di tangga ketiga mungkin beraksi pada penentuan play-off.

“Ia bukannya perlawanan yang teruk, tapi bukanlah terbaik,” kata Hiddink. “Kekalahan pasti satu bencana tapi gol itu membantu kami meneruskan saingan.

“Kami perlu kekal yakin sekalipun situasinya tidak menyenangkan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:17 AM