HUNTELAAR (tengah) jaring gol pertama Belanda.
HUNTELAAR (tengah) jaring gol pertama Belanda.

Amsterdam: Belanda menjaringkan dua gol saat akhir untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Kazakhstan yang beraksi dengan 10 pemain biarpun ketinggalan pada awalnya dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 semalam.

Skuad Belanda meraih tiga mata hasil jaringan Klaas-Jan Huntelaar, Ibrahim Afellay dan penalti jaringan Robin van Persie selepas ketinggalan pada minit ke-17 apabila tandukan Renat Abdulin menerjah gawang Belanda dalam perlawanan Kumpulan A itu.

Pasukan Kazakhstan terus bertahan hingga ke minit ke-62 apabila pemain gantian, Huntelaar menyamakan kedudukan menerusi tandukan dan mereka terus ditimpa malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penyerang Baurzhan Dzholchiyev dibuang padang dua minit kemudian kerana mengasari Afellay.

Afellay, yang kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan selepas tidak beraksi selama 23 bulan, meletakkan Belanda di depan menerusi rembatan sejauh 20 meter ketika perlawanan berbaki lapan minit manakala Van Persie memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-89.

Iceland dan Republik Czech, masing-masing menang di tempat lawan awal pagi semalam mendahului kumpulan dengan enam mata diikuti Belanda dengan tiga mata, Kazakhstan dan Latvia satu mata manakala Turki di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Belanda mengatur serangan sejak awal permainan tetapi selepas ketinggalan pada gol pertama lawan, jurulatih Guus Hiddink terpaksa melakukan rombakan dengan menurunkan Huntelaar bagi menggantikan pemain tengah bertahan, Nigel de Jong pada minit ke-55.

Kapten Schalke 04 membalas kepercayaan pengurusnya dengan menyambut sepakan percuma tepat ke gawang tujuh minit selepas diturunkan.

"Seronok melihat Huntelaar menjaringkan gol menerusi tandukan klasik yang cantik. Selepas gol penyamaan itu, kami hanya memerlukan masa sebelum menjaringkan gol kedua. Anda boleh merasainya," kata Hiddink.

Pemain tengah Olympiakos Piraeus, Afellay, yang diturunkan sebagai tiga serangkai di bahagian tengah bersama De Jong dan Wesley Sneijder, kemudiannya menewaskan penjaga gol Aleksandr Mokin sebelum Van Persie dijatuhkan dan diberi peluang melakukan sepakan penalti.

Belanda tewas 1-2 kepada Republik Czech dalam perlawanan pembukaan menentang Kazakhstan yang menduduki ranking ke-127 FIFA, sekarang seri tanpa jaringan dengan Latvia.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 12:25 AM