TANDUKAN Van Persie yang gagal di selamatkan penjaga gol Latvia, Aleksandrs Kolinko.
TANDUKAN Van Persie yang gagal di selamatkan penjaga gol Latvia, Aleksandrs Kolinko.
AP

Amsterdam: Belanda membelasah Latvia 6-0 pada saingan kelayakan Euro 2016 awal pagi semalam sekali gus meredakan tekanan dihadapi jurulatih Guus Hiddink apabila anak buahnya tewas empat daripada lima aksi awal di bawah bimbingannya.

Republik Czech menduduki tangga teratas Kumpulan A apabila mencatat kemenangan keempat mengatasi Iceland 2-1 di Plzen hasil tandukan Pavel Kaderabek serta gol sendiri Jon Dadi Bodvarsson.

Iceland yang menduduki tempat kedua selepas mengalami kekalahan pertama setakat ini, mendahului menerusi Ragnar Sigurdsson.

Arjen Robben dan Klaas-Jan Huntelaar masing-masing menjaringkan dua gol manakala Robin van Persie serta Jeffrey Bruma turut mencatat nama selaku penjaring ketika membantu Belanda mencerahkan peluang untuk ke pusingan akhir di Perancis nanti. Belanda kekal di tangga ketiga, tetapi semakin hampir dengan Iceland.

Selepas tewas tiga kali sepanjang empat aksi, Hiddink membayangkan beliau sedia untuk meletakkan jawatan andai anak buahnya gagal mengatasi Latvia.

Mereka turut tewas di tangan Mexico pada perlawanan persahabatan untuk menjadikan jumlah kekalahan meningkat kepada empat daripada lima perlawanan sejak menamatkan saingan di kedudukan ketiga Piala Dunia. Ketika itu Belanda masih dibimbing jurulatih Louis van Gaal.

Jawatan Hiddink kini boleh dianggap selamat apabila tiga penggempur utamanya, Van Persie, Robben dan Huntelaar memberikan pendahuluan selesa 3-0.

“Ia bukanlah sesuatu yang penting,” kata Hiddink mengenai ugutan untuk meletakkan jawatan. “Yang penting kami beraksi cemerlang dan ia berlaku pada perlawanan kritikal.”

Van Persie membuka jaringan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Robben pada minit keenam. Robben menggandakan kelebihan pada minit ke-35 menerusi rembatan ke penjuru kanan gawang Latvia.

Huntelaar menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-42 apabila cubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Latvia, Aleksandrs Kolinko.

Van Persie mengakui beberapa aksi buruk Belanda sejak kebelakangan ini sedikit menjejaskan keyakinannya.

“Terdapat banyak tekanan daripada pelbagai pihak,” katanya. “Saya lebih gementar berbanding biasa. Kami juga manusia biasa.”

Latvia bertahan dengan baik di babak kedua, tetapi jentera serangan Belanda melancarkan pelbagai asakan dan berjaya menghasilkan tiga gol dalam baki 12 minit terakhir.

Pemain pertahanan Bruma menjaringkan gol antarabangsa pertamanya apabila menerima hantaran Van Persie manakala Robben mencatat nama sebagai penjaring gol kelima pasukan dan Huntelaar menjadikan kedudukan 6-0 pada minit ke-89.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:05 AM