GOL pembukaan  Sigurdsson rentap semangat Belanda.
GOL pembukaan Sigurdsson rentap semangat Belanda.

Reykjavik: Belanda kecundang 0-2 di tangan Iceland yang mengekalkan permulaan sempurna kempen kelayakan Euro 2016 menerusi dua jaringan separuh masa pertama Gylfi Sigurdsson, awal pagi semalam.

Sigurdsson diragui kecergasannya susulan kecederaan dialami ketika menentang Latvia, Jumaat lalu namun pemain tengah Swansea City berkenaan tetap tersenarai dalam kesebelasan utama dan memberikan impak kepada tuan rumah.

Dia menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 dalam aksi Kumpulan A itu apabila menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan Stefan de Vrij susulan kekasaran terhadap Birkir Bjarnason dalam kotak penalti.

Sigurdsson kemudian menggandakan jaringannya tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila pantas bertindak selepas lawan gagal mengeluarkan bola dengan baik susulan sepakan penjuru.

Belanda yang kekal tiga mata, berdepan tugas sukar untuk layak apabila ketinggalan kepada pendahulu kumpulan, Iceland dan Republik Czech yang terlebih dulu menewaskan Kazakhstan 4-2, untuk unggul dengan enam mata.

Belanda tidak pernah tewas kepada Iceland, memenangi sembilan daripada 10 perlawanan lalu, satu lagi perlawanan terikat 1-1 di Reykjavik pada 1982 namun tidak mampu memecahkan pertahanan lawan pagi semalam.

Tuan rumah turun dengan penuh keyakinan selepas kemenangan 3-0 mengatasi Turki dan Latvia dalam dua aksi awal kelayakan.

Pengendali Belanda Guus Hiddink menurunkan Klaas-Jan Huntelaar bagi menggantikan Wesley Sneijder pada rehat separuh masa pertama namun gagal meledak jaringan, tidak seperti ketika menentang Kazakhstan sebelum ini apabila penyerang Schalke 04 itu menjaringkan gol.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:01 AM