Pasukan bola jaring Desasiswa Murni meraikan kejayaan  meraih pingat emas SUKAD fasa ketiga di Pusat Sukan USM  sini, baru-baru ini.
Pasukan bola jaring Desasiswa Murni meraikan kejayaan meraih pingat emas SUKAD fasa ketiga di Pusat Sukan USM sini, baru-baru ini.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar

Georgetown: Desasiswa Murni muncul juara bola jaring Kejohanan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) fasa ketiga di Pusat Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) kampus induk Minden, baru-baru ini.

Pada aksi final, Desasiswa Murni yang mewakili Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, menewaskan Desasiswa Nurani 14-11.

Setiap pemain Desasiswa Murni menerima pingat emas daripada Penolong Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan USM Mustafa Kamal Esa.

Bagi acara petanque lelaki, Desasiswa Cahaya Gemilang unggul dengan meraih emas selaku juara manakala Desasiswa Restu, perak.

Desasiswa Tekun pula cemerlang kategori wanita apabila meraih emas, manakala Desasiswa Nurani, perak.

Sekretariat Pelajar Tanpa Asrama (PETAS) USM pula gagal mempertahankan gelaran juara tahun lalu bagi acara bola tampar lelaki apabila terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tumpas kepada Desasiswa Tekun dalam aksi penuh dramatik.

Acara bola baling lelaki turut memperlihatkan Desasiswa Jaya meraih emas manakala Desasiswa Cahaya Gemilang perak.

Bagi hoki lelaki, emas milik Desasiswa Indah Kembara dan perak Desasiswa Tekun.

Desasiswa Nurani terus cemerlang apabila memenangi emas senamrobik wanita dan perak menjadi milik Desasiswa Tekun.

Lebih 30 acara dipertandingkan pada kejohanan sukan membabitkan pelajar USM di kampus induk, Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal serta Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, selain pelajar yang tinggal di luar kampus di bawah Sekretariat PETAS.

Kejohanan itu dipantau Jawatankuasa Induk membabitkan pegawai Unit Sukan dan Penggawa Desasiswa yang mengambil bahagian dan dikelolakan sendiri pelajar USM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:36 AM