Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menzahirkan penghormatan kepada Lee Kuan Yew, perdana menteri pengasas Singapura yang meninggal dunia awal pagi semalam dengan memuji kesungguhan pemimpin itu membangunkan republik itu menjadi negara moden dan dinamik.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih sebaik mendengar berita kematian bekas Perdana Menteri republik berkenaan.

“Ingatan dan doa saya bersama Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan keluarga. Saya memberi penghormatan kepada kesungguhan Tuan Lee Kuan Yew dalam membangunkan Singapura dari sebuah negara baru kepada bandar raya yang moden dan dinamik yang kita lihat hari ini,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, di sini, semalam.

Republik berkenaan diisytiharkan berkabung mulai semalam hingga Ahad ini dan bendera negara dikibarkan separuh tiang.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia komited dalam hubungan dua hala dengan Singapura.

Beliau berkata, komitmen Malaysia kepada keamanan, kestabilan dan berkongsi kemakmuran berterusan antara kedua-dua buah negara selain ASEAN secara keseluruhannya.

Sementara itu, melalui status laman Facebook peribadinya, Perdana Menteri berkata, legasi bekas pemimpin nombor satu negara itu, tetap terpelihara berikutan pencapaian hebatnya sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut berduka dengan kematian mantan perdana menteri terbabit berkata, mendiang mempunyai keunggulan tersendiri membangunkan Singapura sebagai republik dan kota metropolitan yang disegani.

“Saya mengenali beliau semasa saya berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dulu. Sememangnya beliau seorang pemimpin yang tegas, berwawasan dan amat berpengaruh di rantau Asia dan juga di dunia,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:15 AM