AKSI Del Potro ketika menentang Filip Krajinovic, awal pagi tadi. - Foto AFP
AKSI Del Potro ketika menentang Filip Krajinovic, awal pagi tadi. - Foto AFP
AFP

MIAMI: Juan Martin del Potro menggembirakan penyokongnya apabila mara ke suku akhir Terbuka ATP Miami dengan menewaskan pemain Serbia, Filip Krajinovic 6-4, 6-2, awal pagi tadi.

Dibantu sokongan padu penyokong, pemain Argentina berusia 29 tahun itu bangkit selepas ketinggalan 1-4 di set pertama dan menang sembilan permainan berturut-turut untuk mara peringkat seterusnya dengan pemain Kanada, Milos Raonic menantinya di suku akhir, esok.

Prestasi hebat Del Potro berterusan selepas menjulang trofi Indian Wells dan mengekalkan momentumnya di Key Biscayne sebelum venue itu berpindah ke Stadium NFL Miami Dolphins, tahun depan.

"Bermain di sini sangat istimewa buat pemain dari Amerika Selatan dan saya mahu menikmatinya untuk kali terakhir di Key Biscayne. Saya tahu ramaai peminat Argentina tinggal di sini dan mereka sangat rapat. Saya pasti merindui mereka,” kata Del Potro.

Cuaca berangin menjejaskan persembahan semua pemain dan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu memerlukan masa untuk mendapatkan rentak ketika menentang pemain ranking ke-27, Krajinovic.

"Cuaca tidak baik untuk bermain tenis. Kami tidak dapat memerhatikan bola 100 peratus dan gagal memukulnya dari garisan belakang,” kata Del Potro.

"Saya yakin akan beraksi lebih baik esok. Cuaca yang lebih baik akan membantu saya di atas gelanggang.”

Raonic pula mudah mengatasi cabaran pemain Perancis, Jeremy Chardy 6-3 6-4. Dia tewas di tangan Del Potro pada separuh akhir Indian Wells lalu dan kini peluang terbaik untuknya membalas dendam.

"Sudah pasti aksi berbeza berbanding di Indian Wells, keadaan tak sama,” kata Del Potro. “Milos sudah jauh meningkat dan permainannya semakin bagus. Dia berpotensi untuk muncul juara. Perlawanan ini peluang untuk saya menguji tahap kecergasan. Saya tak tertekan. Saya tak fikir ranking atau apa sahaja. Saya mahu menikmati perlawanan kali terakhir di Key Biscayne.”

Del Potro pemain pilihan yang tinggal selepas pilihan kedua, Marin Cilic tewas mengejut di tangan pemain Amerika Syarikat, John Isner 7-6 (7/0), 6-3.

Pemain Croatia itu tiada jawapan terhadap servis kencang lawan dan tewas dalam masa 87 minit. Isner akan menentang pilihan ke-19 dari Korea Selatan, Chung Hyeon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:33 AM