Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad kendalian Razip Ismail yang menamatkan kedudukan di tangga ketiga pada kempen kelayakan Piala AFC B-23 kelmarin, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak terutamanya dengan persiapan rapi yang diharungi sejak setahun lalu dianggap satu pembaziran.

Pasukan dibentuk atas nama Harimau Muda B itu, sudah didedahkan dengan pelbagai perlawanan antarabangsa termasuk dihantar beraksi dalam Liga Singapura (Liga-S) yang disifatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pentas terbaik bagi meningkatkan mutu permainan pasukan muda negara.

Bagaimanapun, bagi bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh penyertaan barisan pemain muda negara dalam Liga-S itu tidak banyak membantu menaikkan kualiti permainan skuad negara dan hakikat itu jelas terpampang apabila anak buah Razip tewas kepada Vietnam sebelum bergelut melayan Macau.

“Keputusan diraih pasukan negara memang mengecewakan. Lebih-lebih lagi apabila hanya mampu menang 2-0 ke atas Macau, berbanding Jepun dan Vietnam yang menang besar tujuh gol.

“Di situ saja menunjukkan tahap sebenar pasukan muda negara yang saya kira belum cukup mantap. Walaupun mereka beraksi dalam liga luar negara (Liga-S) dan beberapa aksi persahabatan, permainan pasukan masih di takuk lama dan tidak banyak perubahan biarpun pelaburan sudah banyak dibuat,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurut Serbegeth atau lebih dikenali dengan Shebby, faktor tekanan juga membawa kesan kepada persembahan pasukan negara yang disasarkan untuk layak ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar tahun depan.

“Buat masa ini di Malaysia, kita sering meletakkan sasaran terlalu tinggi kepada sesebuah pasukan yang saya kira boleh mengganggu fokus dan tumpuan pemain.

“Saya faham, apabila banyak perbelanjaan disalurkan buat pasukan, maka sasaran juga perlu berbaloi tapi malangnya mereka gagal merealisasikan harapan itu.

“Kesudahannya, pemain akan tertekan dan tidak mampu mempamerkan aksi terbaik ketika perlawanan sekali gus membawa kepada kekalahan buat pasukan walaupun berdepan lawan lemah seperti Macau,” katanya.

Sepanjang kempen kelayakan Kumpulan I itu, skuad kebangsaan hanya menang sekali selepas menumpaskan Macau 2-0. Namun dalam dua aksi lain, Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam dan 0-1 di tangan Jepun.

Berikutan dua kekalahan itu Malaysia sekadar berpuas hati di tangga ketiga, manakala Jepun layak secara automatik selaku juara kumpulan manakala Vietnam berpeluang merebut slot antara lima pasukan kedua terbaik kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:14 AM