KIM Swee (dua kiri) memantau latihan pemain di Wisma FAM.
KIM Swee (dua kiri) memantau latihan pemain di Wisma FAM.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Ia satu pencapaian baik jika skuad muda negara boleh mara dengan rekod tanpa kalah,” kata pengkritik bola sepak Serbegeth Singh yang melontarkan cabaran kepada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang berdepan kumpulan maut pada Sukan SEA Singapura Jun ini.

Serbegeth atau dikenali sebagai Shebby berkata, juara bertahan Thailand dan Vietnam pasukan pilihan Kumpulan B jika dilihat kepada prestasi semasa namun halangan itu boleh diatasi jika pengendali negara itu dapat menerapkan taktikal yang betul.

“Pada Sukan SEA paling penting adalah keputusan. Atas kertas, Thailand dan Vietnam lebih kuat namun jika kita berjaya mengelak daripada tewas dua perlawanan penting ini dan meraih mata maksimum apabila menentang Laos, Timor Leste dan Brunei, peluang tetap ada kerana mungkin nasib kita bergantung kepada perbezaan jaringan.

“Tapi bagi saya kita kena harungi saingan awal ini dengan rekod tanpa kalah, tidak kira sama ada kita layak ataupun tidak ke separuh akhir. Kalau kita lihat pasukan New Zealand, walaupun tersingkir di Piala Dunia 2010 mereka tidak tewas semua tiga perlawanan, itu juga satu pencapaian baik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Tuah undian nyata tidak memihak kepada Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan B, berbanding Kumpulan A yang hanya membabitkan saingan pasukan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Thailand dan Vietnam masing-masing dikendalikan oleh jurulatih skuad senior mereka iaitu Kiatisuk Senamuang dan Toshiya Miura yang memiliki barisan pemain muda terbaik dan ini terbukti apabila mereka layak ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar tahun depan sedangkan skuad B-22 negara kendalian Razip Ismail terkandas.

Bagaimanapun Serbegeth yang juga bekas Penasihat Global kelab Inggeris Blackburn Rovers percaya hidup mati perjuangan skuad negara di Singapura banyak bergantung kepada keupayaan pemain bukan daripada skuad Harimau Muda untuk merebut dua kedudukan teratas kumpulan ke separuh akhir.

Jika pada dua edisi terakhir pemain Harimau Muda A menjadi pilihan utama pengendali Datuk Ong Kim Swee namun senario itu pantas berubah dengan hanya sembilan pemain daripada program FAM itu dipanggil menyertai latihan akhir manakala 21 lagi pemain adalah pemain pasukan negeri dan kelab masing-masing.

“Saya fikir pemain yang mewakili pasukan negeri dan kelab harus menunjukkan prestasi tinggi sebagai bukti tahap liga tempatan kita. Kalau pemain luar ini gagal seperti yang berlaku kepada Nazmi Faiz Mansor ketika bersama skuad Razip Ismail (kelayakan AFC B-23) tempoh hari, ini menunjukkan liga kita tak kuat,” katanya.

Di bawah kendalian Kim Swee, Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas pada 2011 di Jakarta namun sekadar menduduki tempat keempat di Myanmar dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:06 AM