Kuala Lumpur: “Tidak timbul konflik antara kami berdua,” kata jurulatih skuad Harimau Muda B Razip Ismail yang menafikan beliau merampas tugas pengendali Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, beliau tidak mengambil alih tugas Kim Swee bersama Harimau Muda A sebaliknya hanya mengendalikan skuad campuran yang dibarisi pemain pasukan itu dengan Harimau Muda B dan C untuk mengharungi Kejohanan Kelayakan AFC Bawah 23 Tahun 2016 Mac depan.

“Sebenarnya saya dengan Kim Swee tak ada konflik atau masalah, kerana Harimau A masih wujud lagi dan beliau mengendalikan pasukan itu yang akan bermain di Sukan SEA nanti.

“Harimau Muda B pasukan campuran pemain daripada Harimau Muda A, B dan C untuk kelayakan AFC bawah 23 tahun dan tak timbul kata saya ambil alih tempat tempat Kim Swee kerana masing-masing ada pasukan dan tanggung jawab,” katanya ketika ditemui selepas selesai undian kelayakan AFC B-23 2016 semalam.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Kim Swee kecewa apabila beliau hanya diberikan tugas sebagai pencari bakat untuk persiapan Sukan SEA 2015 di Singapura sedangkan Razip, bekas jurulatih Kuala Lumpur diberi peranan membawa skuad campuran itu mengharungi Liga Singapura serta pusingan kelayakan AFC B-23 bermula Mac tahun depan.

Menurut sumber dalaman FAM, pada awal perancangan Kim Swee diberi tugas untuk mengendalikan pasukan campuran itu dengan Razip menjadi penolong jurulatih, namun keputusan itu berubah hingga menyebabkan pengendali itu tidak berpuas hati dan mahu menilai semula kontrak bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ada pihak meragui kemampuan Razip, 52, untuk membawa pasukan itu selepas menyaksikan rekod Harimau Muda B dalam Liga Singapura hanyalah menduduki tangga ke-11 dan tercorot pada 2012 dan 2013.

“Kita tak boleh buat perbandingan pasukan Harimau Muda A dengan B kerana pasukan itu berlainan pemain. Rata-rata pemain Harimau Muda B yang bermain dalam Liga Singapura adalah pemain bawah 21 dan 19 tahun. Mereka begitu muda dan tidak cukup pengalaman untuk bermain dalam liga profesional. Dari segi pencapaian saya sendiri tak puas hati, tapi ia pendedahan terbaik buat mereka bermain di tahap tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam undian kelayakan AFC B-23 semalam, skuad muda negara bakal berdepan tugas mencabar apabila diundi dalam Kumpulan I bersama gergasi Asia, Jepun, Vietnam dan Macau pada 27 hingga 31 Mac di Stadium Shah Alam.

Sebanyak 43 negara akan berentap dalam 10 kumpulan bagi merebut 10 slot selaku juara kumpulan dan lima slot terbaik naib juara bagi melengkapkan penyertaan 16 pasukan bersama pasukan tuan rumah Qatar pada pusingan akhir.

“Kita bersaing dalam kumpulan agak kuat bersama pasukan pilihan Jepun, Vietnam yang agak seimbang kekuatan dengan kita manakala kita tidak tahu keupayaan Macau. Tapi kita ada peluang sekurang-kurangnya untuk merebut tempat kedua terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya,” kata Razip.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:45 AM