London: Arsenal mahu memantapkan semula keyakinan mereka apabila berkunjung ke Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam ini.

Pasukan kendalian Arsene Wenger itu hanya meraih kemenangan kelima dalam 14 perlawanan apabila dua gol dalam dua minit terakhir memastikan mereka mengatasi Anderlecht 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara, kelmarin.

Gunners akan cuba meneruskan rentak itu apabila mengintai peluang mencetak kemenangan pertama Liga Perdana dalam empat perlawanan di Stadium of Light.

Kelab utara London itu berkunjung ke Tyneside dengan menghuni tangga ketujuh, 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Chelsea.

Permulaan hambar itu, ditambah senarai panjang kecederaan pemain, sekali lagi menyebabkan Wenger dikritik kerana gagal membawa masuk pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan ketika jendela perpindahan terakhir.

Namun pertahanan tengah Gunners, Per Mertesacker percaya pengubat kepada kesukaran ketika ini mampu diatasi skuad semasa sekalipun mengakui pasukan itu di bawah tahap sebenar setakat ini musim ini.

“Setiap orang sedar ia permulaan sukar buat kami dan keyakinan kami tidak di tahap terbaik,” ujar Mertesacker.

“Karakter bagus, mentaliti juga baik tapi dari segi bola sepak, kami kekurangan banyak perkara. Permainan hantaran kami tidak sebagus musim lalu.

“Kami tidak berada pada tahap terbaik. Kami perlu mengakuinya, jujur dengan diri sendiri dan berlatih lebih gigih.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:04 AM