PEMAIN Arsenal berarak bersama trofi Piala FA di Kota London.
PEMAIN Arsenal berarak bersama trofi Piala FA di Kota London.
AFP

London: Arsene Wenger mencabar barisan bintangnya memanfaatkan kehebatan di final Piala FA sebagai inspirasi untuk lebih serius memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan.

Anak buah Wenger mencatat sejarah di Wembley semalam dengan membelasah Aston Villa 4-0 yang membuktikan kebangkitan mereka pada separuh kedua kempen itu sekali gus sebagai cabaran kepada juara Inggeris, Chelsea.

Jaringan Theo Walcott, Alexis Sanchez, Per Mertesacker dan Olivier Giroud memastikan Wenger menjadi jurulatih pertama selepas zaman perang yang menjuarai Piala FA enam kali manakala Gunners kini kelab paling berjaya dalam sejarah kejohanan tertua itu selepas menjulang trofi berkenaan buat kali ke-12.

Kemenangan itu juga julat gol terbesar di final Piala FA sejak 1994, namun statistik itu tidak menggambarkan impak sebenar aksi penuh bergaya Arsenal.

Selepas permulaan musim tidak menentu yang sekali lagi mencetus persoalan mengenai masa depan Wenger, jurulatih kelahiran Perancis itu dan pasukannya kembali mendapatkan rentak beberapa bulan lalu dengan meraih kemenangan demi kemenangan bagi memastikan mereka menduduki tangga ketiga liga sebelum menjuarai piala berkenaan.

Kini, Wenger bersedia untuk bercakap dengan penuh yakin mengenai misi memburu gelaran selain turut mengembalikan kenangan terhadap pasukan itu yang pernah bergelar ‘Invincibles’ apabila mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menjuarai liga pada 2004.

“Saya rasa kami mencatat peningkatan sejak awal musim yang tentunya dalam cara kami bermain, menguruskan perlawanan dan perpaduan dalam pasukan,” kata Wenger.

“Kami menduduki tempat ketiga dan menjuarai Piala FA. Ia satu platform yang bagus untuk cemerlang musim depan.

“Pencapaian itu memerlukan konsistensi tahap tertinggi dan kami menunjukkan tanda-tanda itu.

“Ingat, kami satu-satunya pasukan yang tidak tewas 49 perlawanan. Tiada siapa pernah melakukannya.

“Apabila kami mempunyai konsistensi kuat seperti itu, kami boleh mencabar kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:04 AM