AFP

London: Ketika pemain Arsenal bertindak cemerlang di Wembley dan menyaksikan lawan mereka kecundang, mudah untuk menggambarkan kejayaan Perisai Komuniti menjadi pemangkin kegemilangan Liga Perdana Inggeris.

Musuh yang sering kali mengecewakan pasukan kendalian Arsene Wenger akhirnya sudah ditumbangkan pemenang Piala FA itu dengan persembahan menakjubkan sekali gus mengetengahkan potensi mereka untuk muncul juara.

Namun selepas dua bulan membenam penyandang juara Manchester City 3-0 pada Ogos 2014, cabaran Gunners merebut kejuaraan semakin pudar berikutan kegagalan Wenger memantapkan skuadnya.

Sudah 12 bulan berlalu dengan keyakinan sekali lagi memuncak di Stadium Emirates berikutan kemenangan 1-0 ke atas juara Chelsea pada aksi Perisai Komuniti hujung minggu lalu, namun keadaan antiklimaks selepas kemenangan ke atas City itu patut dijadikan panduan supaya berwaspada.

Arsenal sedar mereka perlu bermula dengan garang berbanding tahun lalu supaya tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu dan Per Mertesacker (gambar), pertahanan mereka dari Jerman, memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak terlalu dibuai kejayaan.

“Kami melalui pramusim yang hebat setakat ini dan kemuncaknya memenangi Perisai Komuniti namun apapun jangkaan daripada perlawanan itu amat sukar,” ujar Mertesacker.

“Ia ujian bagus buat kedua-dua pasukan seminggu sebelum musim bermula. Setiap orang perlu menyesuaikan diri. Prestasi kami bagus, jadi sama ada kami boleh mengekalkannya dan memulakan musim dengan bagus menjadi kunci utama.”

Tidak diragui Arsenal semakin meningkat sejak Disember lalu, apabila kekalahan di Stoke City mencetus kemarahan peminat yang mengejek Wenger ketika beliau menaiki kereta api untuk pulang.

Ia patut membantu Arsenal kerana mereka akhirnya dilihat berjaya menyelesaikan masalah pada perlawanan menentang pencabar kejuaraan.

Dihantui rentetan 15 kekalahan di tangan pasukan Inggeris yang layak ke Liga Juara-Juara musim sebelumnya, keyakinan Arsenal semakin meningkat sejak menang di City, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:30 PM