NAZAHATON (tiga dari kiri)  bersama enam anak berusia antara lima dan 15 tahun tinggal di rumah yang tiada bekalan elektrik.  FOTO Farah Suhaidah Othman
NAZAHATON (tiga dari kiri) bersama enam anak berusia antara lima dan 15 tahun tinggal di rumah yang tiada bekalan elektrik. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman

Tronoh: Kekangan kewangan dan desakan hidup menyebabkan tujuh beranak menumpang di sebuah rumah kosong di Taman Tronoh Wawasan di sini, tanpa pengetahuan pemiliknya sejak dua bulan lalu.

Selepas ditinggalkan suami awal tahun ini, Nazahaton Ramli, 38, bersama enam anak berusia antara lima dan 15 tahun terpaksa tinggal di rumah yang tiada bekalan elektrik serta dipenuhi barang terpakai.

Tujuh beranak itu hanya menggunakan satu daripada tiga bilik selain dapur dan ruang tamu di rumah berkenaan.

Katanya, sejak dua bulan lalu dia dan anak menyewa selang dua rumah dari kediaman yang diduduki sekarang namun terpaksa berpindah kerana pemilik rumah berkenaan mahu menaikkan kadar sewa kepada RM280 sebulan.

“Saya terpaksa berpindah keluar dan mencari rumah lain untuk berteduh namun semua pemilik rumah sewa mahu deposit dua bulan, mana saya mahu cari duit sebanyak itu?

“Secara kebetulan, jiran memaklumkan rumah yang saya duduki sekarang ini kosong dan dijadikan tempat menyimpan barang-barang.

“Jiran sebelah rumah beritahu sepanjang tinggal di situ, dia tidak pernah melihat tuan rumah datang, jadi saya menumpang teduh di sini,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan.

Nazahaton yang berasal dari Taiping berkata, sejak ketiadaan suami, dia terpaksa melakukan dua kerja dalam satu hari bagi menampung kehidupan mereka tujuh beranak.

“Pada jam 8.30 pagi hingga 3 petang, saya akan bekerja di sebuah kedai makan, manakala pada jam 4 petang hingga tengah malam, saya akan bekerja di satu lagi kedai makan.

“Dalam sehari saya boleh dapat kira-kira RM55 untuk beri anak-anak makan. Saya pernah terfikir untuk bekerja di kilang, tetapi kalau kerja di kilang saya tidak boleh keluar sesuka hati untuk menghantar atau mengambil anak sekolah, jadi saya rela melakukan dua kerja itu,” katanya.

Nazahaton berkata, dia terpaksa berulang-alik empat kali dengan menaiki motosikal untuk menghantar dan mengambil anaknya ke sekolah tadika hingga ke sekolah menengah.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua anaknya tidak pernah meminta lebih kerana memahami kedaifan yang dialami keluarga.

Malah, anaknya juga tidak pernah diberikan wang saku ketika di sekolah sebaliknya membawa bekalan makanan dari rumah.

Dia berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, anaknya juga tidak pernah meminta untuk dibelikan pakaian bahu sebaliknya memakai apa yang ada.

“Dari kecil hingga besar, anak-anak diajar bersederhana dan hidup berdikari serta saling membantu antara satu sama lain terutama ketika saya keluar bekerja,” katanya.

“Saya hanya memohon kepada Allah supaya berikan saya kesihatan yang baik supaya kehidupan anak-anak terurus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 4:52 AM