Kuala Lumpur: Pelancaran Hari Sukan Negara 2015 diharap mampu meningkatkan kesedaran bersukan terutama di peringkat akar umbi yang dilihat lebih condong kepada aktiviti dalaman.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ramai di kalangan kanak-kanak sekarang ini sudah tidak berminat untuk bersukan.

“Mereka lebih suka kepada aktiviti dalaman dan sibuk dengan gajet serta telefon bimbit ia memang amat membimbangkan apabila mempunyai kaitan dengan kadar peningkatan masalah obesiti,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan ‘Countdown’ Hari Sukan Negara 2015 semalam.

Jelasnya, bagaimana negara hendak mencari juara dalam bidang sukan pada masa akan datang jika dari peringkat akar umbi sudah berdepan masalah tidak berminat dengan aktiviti bersukan.

“Sedikit sebanyak dengan adanya Hari Sukan Negara, orang muda kembali kepada aktiviti bersukan. Saya berharap semua rakyat Malaysia terbabit pada Hari Sukan Negara, tidak kira apa jenis sukan atau kaedah yang akan dilakukan nanti.

“Sekurang-kurangnya paling minimum 10 peratus penduduk Malaysia bersukan pada 10 Oktober nanti. Seperti mana yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa agenda ini penting sebagai asa membina sebuah negara bersukan,” katanya.

“Ujarnya, Malaysia perlu menjadi negara yang menjadikan sukan sebagai satu budaya dan gaya hidup.

“Bagi membangkitkan bahang Hari Sukan Negara 2015, beberapa program secara mengejut akan diadakan di setiap negara dan di lokasi tertentu.

“Karnival jualan peralatan sukan juga akan diadakan sebelum tarikh berkenaan bagi menaikkan semangat semua yang ingin terbabit dalam Hari Sukan Negara membeli kasut dan baju. Sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh hari berkenaan,” katanya.

Khairy juga menyatakan akan memperketatkan prosedur doping di kalangan atlet yang mengambil bahagian di Sukan SEA 2015 Singapura.

“Kita mengarahkan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) membuat ujin doping pada setiap atlet individu yang akan ke Sukan SEA 2015, sebelum ini hanya 30 peratus saja dari kalangan atlet yang mengambil bahagian di temasya dwi tahunan itu.

“Dalam masa yang sama kita mahu ADAMAS meningkatkan pengurusan mereka kerana sebelum ini timbul kelemahan maklumat atau kes doping lambat diketahui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:02 AM