KHAIRY (tengah) menyampaikan sumbangan bagi sambutan Hari Sukan Negara 2016 kepada wakil Parlimen Alor Setar, Abdul Kadir Mohammad (kiri).
KHAIRY (tengah) menyampaikan sumbangan bagi sambutan Hari Sukan Negara 2016 kepada wakil Parlimen Alor Setar, Abdul Kadir Mohammad (kiri).

Sungai Petani: Sambutan Hari Sukan Negara 2016 pada 8 Oktober ini menyasarkan enam juta penyertaan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sasaran itu ditetapkan ekoran sambutan memberangsangkan diterima tahun lalu dengan penyertaan lima juta peserta, melepasi sasaran awal tiga juta.

“Tahun ini kita mahu 20 peratus daripada rakyat iaitu enam juta orang keluar bersukan serentak di seluruh negara pada sambutan Hari Sukan Negara 2016 ini,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Hari Sukan Negara 2016 peringkat negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Merbok.

Bagi mencapai sasaran itu, Khairy mengharapkan semua lapisan masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi mengambil bahagian dalam sambutan itu bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.

Katanya, pembabitan di peringkat pedalaman juga berupaya melahirkan bakat baru sekali gus mampu mengharumkan nama negara seperti atlet kebangsaan iaitu Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini, hanya 40 peratus rakyat di negara itu yang melakukan aktiviti bersukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:04 AM