Kuala Lumpur: Impian melahirkan lebih ramai jaguh sukan bertaraf antarabangsa seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Pandelela Rinong (gambar) dan Azizulhasni Awang pastinya sukar direalisasikan andai rakyat Malaysia tidak diterapkan dengan budaya bersukan.

Itu luahan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi surat terbukanya sempena Hari Sukan Negara yang disambut buat julung kalinya di seluruh negara, hari ini.

Menurut beliau, pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus, sekali gus sukar untuk menerapkan budaya dan gaya hidup bersukan.

“Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Jika tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut,” katanya.

“Bila tiada budaya bersukan, ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan.

“Natijahnya, usaha menjadi rakyat Malaysia lebih aktif bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan pembabitan sukan di peringkat akar umbi dan sekali gus membentuk lebih ramai bintang sukan untuk masa hadapan.”

Namun apa lebih penting menerusi sambutan Hari Sukan Negara, disambut minggu kedua Oktober setiap tahun adalah membentuk negara yang lebih sihat apatah lagi dengan ancaman penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.

“Hari Sukan Negara bakal menjadi tarikh simbolik untuk mengingatkan orang ramai mengenai kuasa sukan dalam meniupkan api semangat dan menyembuhkan penyakit yang boleh kita elakkan,” katanya.

Jelas Khairy, pelancaran FitMalaysia pada 7 September 2014 menjadi pencetus momentum ke arah Hari Sukan Negara. Menerusi kempen FitMalaysia di setiap ibu kota itu, ribuan rakyat Malaysia yang dahulunya jarang bersenam, turun ke padang untuk memulakan gaya hidup baru lebih sihat melalui sukan.

Kejayaan kempen berkenaan, menurut beliau memberi petanda positif terhadap penganjuran Hari Sukan Negara, yang mula mendapat maklum balas pelbagai pihak biarpun pada masa sama negara berdepan ancaman jerebu.

Bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara, lebih 16,000 aktiviti dianjurkan di seluruh negara untuk disertai semua golongan masyarakat.

“Yang penting, kita semua mengambil langkah pertama ke arah Malaysia yang lebih cergas dan sihat. Inilah semangat sebenar Hari Sukan Negara - satu hari yang menyaksikan rakyat Malaysia turun ke padang untuk bersukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:11 AM